Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari, sejajar dengan prestasi Wall Street semalaman dan pasaran serantau yang suram dipengaruhi ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.86 mata kepada 1,729.50 berbanding paras 1,733.36 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.39 mata lebih rendah pada 1,731.97 dan turun naik antara 1,725.95 dan 1,733.44 sepanjang sesi dagangan pagi.
Pasaran secara meluas kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 633 berbanding 364, manakala 503 kaunter tidak berubah, 1,373 kaunter tidak diniagakan dan 16 kaunter digantung dagangan.
Jumlah dagangan mencecah 1.91 bilion unit bernilai RM1.31 bilion.
Dalam satu nota penyelidikannya, Malacca Securities Sdn Bhd berkata sentimen Wall Street dijangka kekal berhati-hati apabila pelabur mengambil keuntungan dalam saham teknologi, sambil mengimbangi permintaan terhadap perusahaan perkakasan yang kekal kukuh, hasil Perbendaharaan AS yang tinggi serta ketidaktentuan geopolitik.
“Kami menjangkakan sentimen teknologi global yang lemah akan memberi tekanan kepada FBM KLCI, manakala harga minyak Brent yang lebih tinggi mungkin menyokong kaunter tenaga terpilih dan momentum berasaskan faktor saham khusus kekal tertumpu kepada kaunter defensif yang mempunyai pemangkin jelas,” katanya.
Perkembangan di rantau ini pula menyaksikan Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 0.24 peratus kepada 25,533.38, Nikkei 225 Jepun merosot 3.10 peratus kepada 65,370.63, Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan turun 5.52 peratus kepada 6,490.29, manakala Indeks Straits Times Singapura susut 0.22 peratus kepada 5,688.91.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM10.64, Public Bank menambah dua sen kepada RM5.12 dan IHH Healthcare naik 14 sen kepada RM8.29, manakala CIMB Group susut tiga sen kepada RM7.92 dan Tenaga Nasional turun 10 sen kepada RM14.32.
Dalam senarai kaunter paling aktif, Zetrix AI meningkat 1.5 sen kepada 65 sen, JAKS Resources tidak berubah pada 13 sen, Pentech Holdings menambah 3.5 sen kepada 32.5 sen, manakala Nexgram Holdings susut setengah sen kepada 5.5 sen dan Lotte Chemical Titan Holdings meningkat enam sen kepada 37 sen.
Nestle mendahului senarai kaunter untung dengan peningkatan 40 sen kepada RM104.10, diikuti Dutch Lady Milk Industries yang menambah 38 sen kepada RM31.88 dan Petronas Dagangan yang meningkat 30 sen kepada RM19.66. Fraser & Neave naik 12 sen kepada RM26.42, manakala Ranhill Utilities meningkat 11 sen kepada RM2.82.
Dalam kalangan kaunter rugi utama, Malaysian Pacific Industries merosot RM1.66 kepada RM46.36. United Plantations susut 42 sen kepada RM32.18, Mi Technovation turun 23 sen kepada RM6.22 dan AMMB Holdings berkurangan 20 sen kepada RM7.03.
Di papan indeks, Indeks FBM 70 susut 67.18 mata kepada 18,144.48, manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 30.80 mata kepada 12,635.94 dan Indeks FBM Emas merosot 33.45 mata kepada 12,796.25.
Indeks FBM Top 100 turun 32.81 mata kepada 12,611.73, manakala Indeks FBM ACE susut 19.40 mata kepada 5,281.78.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 0.58 mata kepada 778.99 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.09 mata kepada 189.52, manakala Indeks Perladangan merosot 82.79 mata kepada 9,293.89 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 42.77 mata kepada 20,265.22.
-- BERNAMA