Pelabuhan Pulau Pinang Teroka Potensi AI Bagi Memacu Operasi Lebih Pintar, Hijau
GEORGE TOWN, 19 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) sedang meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mengoptimumkan operasi pelabuhan, mengurangkan tempoh peralatan yang beroperasi terbiar dan tenaga, serta mempercepat transformasinya menjadi hab maritim pintar dan rendah karbon.
Pengerusi SPPP Datuk Yeoh Soon Hin berkata AI boleh mengintegrasikan jadual kapal, pergerakan kargo, koordinasi logistik, pemantauan keselamatan dan pengurusan tenaga, sekali gus membolehkan keputusan operasi dibuat dengan lebih tepat berdasarkan data.
Beliau berkata langkah itu mencerminkan transformasi pesat industri pelabuhan dan perkapalan global, yang mana daya saing semakin bergantung pada pendigitalan, integrasi rantaian bekalan, keselamatan, kecekapan tenaga dan kelestarian alam sekitar.
“Pelabuhan masa depan bukan sahaja perlu beroperasi dengan cekap, malah ia mesti mampu ‘berfikir’ melalui data, membuat ramalan dan menyokong pembuatan keputusan yang lebih tepat. AI boleh membantu pelabuhan menganalisis data masa nyata, meramalkan permintaan operasi, mengoptimumkan penggunaan peralatan dan tenaga kerja, serta mengenal pasti potensi risiko lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan.
Yeoh berkata potensi penggunaan AI itu dibincangkan semasa mesyuarat beliau baru-baru ini dengan delegasi OpenMove AI, yang diketuai oleh Pengarah Eksekutifnya Steven Wong, bagi memperkenalkan perisian AI syarikat itu serta meneroka aplikasinya dalam operasi pelabuhan, koordinasi logistik dan pembangunan pelabuhan pintar.
Beliau berkata potensi aplikasi itu termasuklah keterlihatan logistik, analisis aliran kenderaan dan kargo, penyelenggaraan ramalan, amaran anomali dan peruntukan sumber pintar.
Tambahnya koordinasi yang lebih baik antara kapal, kenderaan, kargo dan peralatan pelabuhan dapat mengurangkan masa menunggu serta tempoh peralatan terbiar, meningkatkan kecekapan aliran kargo, di samping menurunkan kos bahan api, elektrik dan operasi.
Bagaimanapun, Yeoh berkata sebarang penyelesaian AI akan menjalani penilaian teknikal dan operasi yang teliti untuk memastikan ia memenuhi keperluan operasi, keselamatan siber dan tadbir urus data pelabuhan.
“Kita tidak boleh mengguna pakai teknologi semata-mata demi teknologi. Setiap pelaburan dalam pendigitalan atau AI mesti menyelesaikan masalah operasi sebenar dan memberikan hasil yang boleh diukur, termasuk masa operasi, kos yang rendah, produktiviti yang tinggi, keselamatan dan perlindungan yang lebih kukuh, serta pengalaman keseluruhan yang lebih baik untuk pengguna pelabuhan,” katanya.
Yeoh berkata transformasi pintar dan hijau harus dilaksanakan secara serentak, dengan analitis dan penjadualan yang didayakan AI membantu mengoptimumkan pergerakan peralatan serta kapal, meningkatkan kecekapan tenaga dan menyokong pengurusan pelepasan karbon.
SPPP juga akan mengkaji penggunaan jentera pelabuhan hijau, peralatan hibrid, kemudahan bekalan kuasa dari darat dan penyelesaian tenaga alternatif memandangkan industri perkapalan mempercepat usaha penyahkarbonannya, kata beliau.
Sebagai pintu gerbang maritim utama di sepanjang Selat Melaka dan untuk utara Malaysia, serta hab logistik penting yang menghubungkan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand, pembangunan pintar Pelabuhan Pulau Pinang harus diperluas kepada jalan raya, landasan kereta api, pelabuhan darat, syarikat perkapalan dan penyedia perkhidmatan logistik, kata Yeoh.
“Transformasi Pelabuhan Pulau Pinang tidak boleh dilaksanakan oleh satu institusi sahaja. Kita perlu menghimpunkan pengendali pelabuhan, agensi kerajaan, syarikat teknologi, pemain logistik, universiti dan institusi penyelidikan untuk memperluas rangkaian kerjasama dalam membangunkan pelabuhan pintar dan hijau,” tambahnya.
-- BERNAMA