BERITA TERKINI   Pelan komprehensif tambah baik kawalan di pintu masuk negara diluluskan oleh Jemaah Menteri untuk tindakan segera - Fahmi | Cadangan sistem percukaian hibrid SST-GST: PM maklumkan kepada kabinet MOF perlu lakukan kajian penuh, Menteri Kewangan II diberi masa sediakan laporan – Fahmi | Penyelenggara penerbangan, GTA Holdings sasar raih RM71.75 juta menerusi IPO di Pasaran ACE | Miskin Tegar Negeri Pahang berjaya dinoktahkan pada 19 Feb lepas - Wan Rosdy | Ambil tindakan tanpa kompromi jika ada kecuaian dalam kemalangan libatkan lori Jabatan Imigresen - PM Anwar | 

Malaysia Masih Terdedah Kepada Turun Naik Harga Minyak Walaupun Prestasi Kukuh LNG - Kenanga IB

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Kejutan harga minyak baru-baru ini menunjukkan bahawa Malaysia masih terdedah kepada perubahan harga minyak dari segi kedudukan perdagangan tenaganya walaupun negara kekal sebagai pengeksport tenaga bersih, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Bagaimanapun, kedudukan fiskal Malaysia masih terdedah kepada harga produk petroleum ditapis melalui subsidi manakala kedudukan perdagangan menunjukkan negara ini mengalami defisit minyak mentah namun mencatat lebihan gas asli cecair (LNG).

"Malaysia adalah pengimport minyak bersih tetapi LNG menjadi faktor yang menyebabkan imbangan tenaga Malaysia positif.

Ad Banner

“Pada 2025, Malaysia merekodkan defisit RM30.4 bilion bagi minyak mentah dan kondensat manakala hanya mencatat lebihan RM3.2 bilion bagi produk ditapis, yang menghasilkan kombinasi defisit petroleum sebanyak RM27.2 bilion.

“Lebihan keseluruhan minyak dan gas sebanyak RM18.2 bilion adalah daripada lebihan LNG sebanyak RM45.4 bilion,” menurut bank itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut Kenanga IB, subsidi bahan api berkait rapat dengan harga produk ditapis manakala hasil daripada LNG masuk melalui saluran fiskal yang berbeza dan diterima kemudian.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurutnya sehubungan itu, kenaikan harga minyak tidak banyak membantu melindungi kedudukan kewangan kerajaan seperti yang mungkin digambarkan oleh kedudukan eksport tenaga keseluruhan Malaysia.

Menurut anggaran Kementerian Kewangan (MOF), setiap kenaikan US$1 setong (bbl) harga minyak meningkatkan hasil petroleum Kerajaan Persekutuan sebanyak RM300 juta setahun, tidak termasuk dividen daripada Petronas.

Bagaimanapun, Kenanga IB menganggarkan peningkatan tahunan sekitar RM1.05 bilion bagi setiap pergerakan US$1/bbl.

 Menurut Kenanga IB, pendedahan fiskal kerajaan semakin meningkat berikutan paras ‘strike’ atau paras yang menjadi titik rujukan subsidi agak rendah.

“Kami menetapkan paras ‘strike’ subsidi RON95 pada sekitar US$44 setong Brent dan subsidi diesel kira-kira US$48 setong susulan penetapan harga diesel BUDI Diesel pada RM2.10, dengan kedua-duanya berdasarkan harga niaga hadapan.

“Kedua-dua paras ‘strike’ itu jauh lebih rendah daripada unjuran purata kami US$80 setong untuk 2026. Oleh itu, pendedahan akan terus berlaku walaupun tiada lagi kejutan besar terhadap harga minyak,” menurutnya.

Kenanga IB memaklumkan pendekatan subsidi bersasar telah membantu mengurangkan beban fiskal.

BUDI95 dianggarkan memberikan penjimatan tahunan antara RM2.5 bilion hingga RM4.0 bilion manakala BUDI Diesel memberikan penjimatan tambahan sebanyak RM2.0 bilion mulai Julai.

Secara keseluruhan, inisiatif subsidi bersasar itu berpotensi memberikan penjimatan antara RM4.5 bilion hingga RM6.0 bilion setahun

Menurutnya MOF melihat penjimatan itu akan menyediakan ruang fiskal untuk membiayai pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur pengangkutan awam.

-- BERNAMA