BERITA TERKINI   Pelan komprehensif tambah baik kawalan di pintu masuk negara diluluskan oleh Jemaah Menteri untuk tindakan segera - Fahmi | Cadangan sistem percukaian hibrid SST-GST: PM maklumkan kepada kabinet MOF perlu lakukan kajian penuh, Menteri Kewangan II diberi masa sediakan laporan – Fahmi | Penyelenggara penerbangan, GTA Holdings sasar raih RM71.75 juta menerusi IPO di Pasaran ACE | Miskin Tegar Negeri Pahang berjaya dinoktahkan pada 19 Feb lepas - Wan Rosdy | 

GTA Holdings Tangguh Rancangan Pengembangan Di Asia Barat, Teroka Peluang Lain

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) enjin pesawat, GTA Holdings Bhd (GTA) telah menangguhkan rancangan pengembangannya di Asia Barat berikutan ketegangan yang berterusan di rantau itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif GTA, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata syarikat itu sedang memantau rapat situasi di rantau berkenaan dan akan menunggu masa yang sesuai untuk memasuki pasaran itu.

“Kami telah mengenal pasti bidang yang boleh kami bekerjasama dan telah membincangkannya dengan agak meluas. Bagaimanapun, kami telah menangguhkannya buat masa ini.

Ad Banner

“Selain itu, GTA sedang melihat situasi keselamatan semasa di Asia Barat, dan sedang berurusan dengan pihak tempatan serta cuba memahami bilakah masa sesuai untuk kembali ke sana (rantau tersebut),” katanya pada sidang media selepas pelancaran prospektus GTA di sini hari ini.

GTA dijadual untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 8 September, 2026, mensasarkan untuk mengumpul RM71.75 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

Menurut prospektus GTA, sebanyak RM10 juta daripada hasil kasar akan disalurkan untuk memperluaskan kemudahan MRO helikopter di Asia Barat menerusi pengaturan usaha sama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Nonee Ashirin berkata syarikat itu sedang meneroka peluang pengembangan lain, terutamanya di pasaran serantau yang lebih dekat dengan Malaysia.

“Kami kini mengendalikan MRO di Brunei sebagai wilayah tambahan, dan dalam masa beberapa hari lagi, saya menjangkakan akan ada pengumuman lanjut mengenai Brunei.

“Apa yang penting ialah keyakinan para pelabur kami. Oleh itu, GTA sedang melihat kawasan yang lebih dekat, tetapi ia tidak menghentikan rancangan kami untuk pengembangan geografi. Ia hanya menunggu masa untuk kami kembali ke Asia Barat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, GTA mensasarkan untuk berpindah ke kemudahan baharu bernilai RM38.93 million di Bukit Jelutong, Shah Alam, menjelang akhir Disember.

“Dalam pada itu, kami juga merancang untuk memulakan sistem gear pendaratan MRO secepat mungkin pada suku pertama 2027. Komponen roda dan brek akan menjadi aliran perniagaan baharu hasil pendapatan kami,” katanya.

Berdasarkan prospektus GTA, syarikat itu telah memperuntukkan sebanyak RM5.90 juta daripada hasil IPO untuk pengembangan ke dalam bidang sistem gear pendaratan pesawat MRO dalam tempoh 24 bulan selepas penyenaraiannya.

IPO tersebut merangkumi terbitan 329 juta saham biasa dalam GTA, terdiri daripada terbitan awam sebanyak 205 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 124 juta saham sedia ada pada harga IPO 35 sen sesaham.

-- BERNAMA