BERITA TERKINI   Pelan komprehensif tambah baik kawalan di pintu masuk negara diluluskan oleh Jemaah Menteri untuk tindakan segera - Fahmi | Cadangan sistem percukaian hibrid SST-GST: PM maklumkan kepada kabinet MOF perlu lakukan kajian penuh, Menteri Kewangan II diberi masa sediakan laporan – Fahmi | Penyelenggara penerbangan, GTA Holdings sasar raih RM71.75 juta menerusi IPO di Pasaran ACE | 

Elemen GST Dalam SST Dapat Tangani Isu Cukai Bertindih, Tekanan Kos -- FMM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Cadangan untuk menggabungkan elemen Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tertentu ke dalam kerangka Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) sedia ada, dapat membantu menangani isu seperti cukai bertindih dan tekanan kos, menurut Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM).

Presiden FMM Jacob Lee Chor Kok berkata mekanisme kredit yang dirangka dengan baik dapat memastikan isu itu dapat ditangani daripada peringkat sumber atau awal dengan membolehkan cukai layak dibayar ke atas input perniagaan dituntut semula berbanding bergantung kepada pengecualian berulang serta langkah pembetulan selepas pelaksanaannya.

“Oleh itu, FMM menganggap ada merit dalam cadangan kerajaan untuk menggabungkan elemen baik GST ke dalam SST, terutama mekanisme kredit input cukai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ad Banner

Dalam pada itu, FMM juga mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan mekanisme kredit cukai atau pengimbangan cukai input bagi cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang layak seperti bahan, mesin, logistik, sewaan kilang, pembinaan dan perkhidmatan perniagaan lain yang sesuai bagi mengelak cukai berkenaan menjadi kos pengeluaran kekal.

FMM mencadangkan supaya pengecualian dan pelepasan pelbagai kategori digantikan dengan mekanisme kredit atau rebat yang lebih sistematik untuk mengurangkan kesan cukai berganda di sepanjang rantaian bekalan.

Pada masa sama, FMM menggesa agar kerajaan mewujudkan mekanisme bayaran balik yang diyakini, automatik serta dalam tempoh masa wajar manakala bayaran balik lebihan kredit disahkan dibuat dengan tepat, terutama bagi pengeksport dan pengilang berintensifkan modal.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Cadangan lain adalah barangan keperluan harus dilindungi daripada cukai dalam harga melalui mekanisme berkadar sifar seperti GST atau kredit, rebat atau pembayaran balik yang setara.

Cukai jualan dan perkhidmatan yang layak dalam pengeluaran dan penghantaran barangan eksport, juga perlu boleh dikreditkan, rebat atau dibayar balik agar barangan eksport tidak menanggung beban cukai domestik, sekali gus memastikan daya saing produk Malaysia.

Selain itu, FMM berpendapat infrastuktur e-Invois perlu dimanfaatkan bagi menyokong proses pengesahan, transaksi lebih telus dan mengelak sebarang penipuan.

FMM juga menekankan kepentingan untuk melibatkan persekutuan berkenaan serta badan industri lain sejak dari peringkat awal kajian, reka bentuk, pelaksanaan dan peralihan yang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan kerangka terbabit kekal berkesan di sepanjang sektor berkaitan.

“Kami (FMM) menyambut baik hasrat kerajaan untuk mengekalkan SST sebagai asas sistem (cukai) itu pada masa ini. Jika pendekatan ini dikekalkan, keutamaannya adalah untuk menerapkan elemen GST yang dapat menghalang cukai ke atas input perniagaan daripada terkumpul di sepanjang rantaian bekalan.

“Ini khususnya kredit cukai input, layanan cukai yang berkesan terhadap barangan keperluan dan eksport serta mekanisme bayaran balik yang boleh diyakini,” kata Lee.

Pada 18 Ogos, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan kerajaan untuk mengkaji cadangan menggabungkan elemen GST dengan SST bagi memastikan sistem percukaian negara yang lebih progresif.

Anwar yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun berkata Malaysia akan mengekalkan SST sebagai sistem percukaian negara dan kerajaan tidak berhasrat mengenakan cukai secara menyeluruh pada masa ini.

-- BERNAMA