Harga MSM Kekal Melebihi RM4,600 Pada September Susulan Gangguan Geopolitik -- MPOC
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah dijangka kekal kukuh melebihi RM4,600 satu tan pada September, disokong oleh asas bekalan yang semakin ketat dan gangguan geopolitik yang berterusan terhadap aliran perdagangan global, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Dalam satu kenyataan hari ini, MPOC menjelaskan kontrak niaga hadapan MSM bagi 2027 yang diniagakan di Bursa Malaysia Derivatives juga melepasi paras RM5,000 setan pada pertengahan Ogos, yang mencerminkan kebimbangan pasaran mengenai potensi kesan El Nino.
Tambahnya, permintaan minyak sawit Indonesia bagi pengadunan biodiesel B50 boleh terus meningkat apabila tempoh peralihan bagi menghabiskan baki stok biodiesel B40 berakhir pada September.
“Bagaimanapun, risiko berlakunya penurunan masih kekal. Kesesakan logistik yang berkurangan di Laut Hitam, ketibaan bekalan minyak bunga matahari tanaman baharu dalam pasaran eksport dan harga tenaga yang lebih rendah apabila ketegangan geopolitik semakin baik boleh menyebabkan penyesuaian dalam harga minyak sayuran,” tambahnya.
Jelas MPOC, pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat 9.4 peratus bulan ke bulan kepada 1.79 juta tan pada Julai 2026, iaitu kenaikan sebanyak 154,000 tan.
Bagaimanapun, pengeluaran kekal di bawah paras tahun lepas, menandakan penurunan tahun ke tahun selama lima bulan berturut-turut sejak Mac 2026.
Menurutnya, prestasi eksport terus mengukuh pada Julai, dengan penghantaran meningkat 14.5 peratus bulan ke bulan kepada 1.39 juta tan, terutamanya didorong oleh pembelian yang lebih kukuh dari India menjelang Deepavali, selain permintaan yang berterusan daripada rantau Sub-Sahara Afrika.
Sementara itu, stok minyak sawit Malaysia terus meningkat pada Julai, iaitu mencecah 2.62 juta tan.
“Bagaimanapun, peningkatan stok di Malaysia bukanlah satu kebimbangan utama, kerana permintaan biodiesel yang kukuh dan penumpuan eksport di Indonesia telah menyebabkan stok minyak sawit Indonesia menjadi agak rendah.
“Peningkatan harga berikutan pengumuman data penawaran dan permintaan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia pada 10 Ogos, memperkukuhkan lagi pandangan bahawa paras stok minyak sawit semasa tidak berlebihan, walaupun bekalan keseluruhan kekal selesa buat masa ini,” menurut MPOC.
Tambahnya, pasaran minyak sayuran global terus disokong oleh permintaan biobahan api dan ketidaktentuan geopolitik pada Ogos, dengan harga MSM Malaysia terus meningkat pada 3.9 peratus, berbanding peningkatan 2.7 peratus bagi minyak bunga matahari dan 1.1 peratus bagi minyak kacang soya di Argentina.
Sementara itu, harga minyak biji sesawi di Eropah merosot sedikit sebanyak 0.8 peratus.
Menurut MPOC, pengeluaran minyak sawit Malaysia biasanya mencapai paras kemuncak pada September atau Oktober sebelum menyusut pada suku keempat.
Jelas agensi itu, pertumbuhan pengeluaran dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026 sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan kadar pengekstrakan minyak (OER) tandan buah segar.
“OER Malaysia dari Januari hingga Mei 2026 jauh melebihi purata 10 tahun, disokong oleh keadaan hujan yang menggalakkan pada enam bulan sebelumnya.
“Bagaimanapun, OER jatuh di bawah purata pada Jun dan Julai serta diunjurkan kekal di bawahnya untuk sepanjang tahun,” tambahnya.
-- BERNAMA