TH Plantations Catat Keuntungan Bersih RM5.78 Juta Pada Suku Kedua 2026
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- TH Plantations Bhd (THP) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM5.78 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2026, berbanding RM11.78 juta pada suku kedua 2025.
Hasil pula berjumlah RM220.80 juta daripada RM226.58 juta pada suku yang sama tahun lepas, disebabkan terutamanya jumlah jualan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit yang lebih rendah, meskipun purata harga jualan direalisasikan lebih tinggi pada suku tersebut.
Bagi tempoh enam bulan pertama 2026 THP mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM17.41 juta berbanding RM24.63 juta sebelumnya, manakala pendapatan meningkat sedikit kepada RM410.28 juta daripada RM409.96 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Borhan Bachi dalam satu kenyataan hari ini berkata kumpulan itu kekal memberi tumpuan untuk mengukuhkan asas operasi di samping mengekalkan pengurusan kos dan modal yang berdisiplin.
“Prestasi separuh pertama kami tahun ini menunjukkan bahawa disiplin operasi terus menghasilkan penambahbaikan ketara di ladang dan kilang kami. Peningkatan pengeluaran tanda buah segar (FFB), kadar ekstrasi minyak (OER) dan kadar ekstrasi isirung (KER) menyediakan asas operasi yang lebih kukuh untuk kumpulan.
"Pada masa yang sama, loji janakuasa biogas pertama kami di Kluang, Johor beroperasi dengan baik, membuktikan nilai inisiatif kelestarian kami di samping memberi sumbangan positif kepada agenda ESG kumpulan yang lebih menyeluruh,” katanya.
Borhan berkata walaupun harga komoditi terus dipengaruhi oleh turun naik pasaran, tumpuan kumpulan itu adalah kepada aspek yang berada dalam kawalannya iaitu meningkatkan hasil, mengoptimumkan penggunaan sumber dan mengekalkan disiplin kos.
"Kami akan terus menambah baik operasi bagi memperkukuh daya tahan dan kemampanan pendapatan kami,” katanya.
Sementara itu THP menjangkakan pengeluaran bertambah baik pada separuh kedua tahun ini disokong oleh peningkatan berterusan dalam kecekapan penuaian, produktiviti dan prestasi kilang.
"Kos input pertanian dan bahan api yang lebih tinggi akibat daripada konflik Asia Barat yang berterusan mungkin memberi sedikit tekanan sementara kepada kos pengeluaran.
“Bagaimanapun, sekiranya konflik tersebut mereda tekanan kos ini dijangka berkurangan,” maklum kumpulan itu.
-- BERNAMA