Perdagangan Malaysia Meningkat 37.3 Peratus Kepada RM364.7 Bilion Pada Julai – DOSM
KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Prestasi perdagangan Malaysia terus mengukuh pada Julai 2026, meningkat 37.3 peratus kepada RM364.7 bilion daripada RM265.7 bilion setahun sebelumnya, disokong pertumbuhan berterusan dalam eksport dan import.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan berkata eksport Malaysia berkembang 38.0 peratus kepada RM193.6 bilion, manakala import meningkat 36.4 peratus kepada RM171.1 bilion. Lebihan dagangan pula melonjak 51.9 peratus kepada RM22.5 bilion pada bulan dalam tinjauan.
"Berbanding Jun 2026, import dan jumlah dagangan masing-masing meningkat kepada 5.5 peratus dan 7.3 peratus. Eksport dan lebihan dagangan juga mencatatkan peningkatan masing-masing 8.8 peratus dan 42.4 peratus," katanya dalam Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia bagi Julai 2026.
Dari perspektif kumpulan barangan pula, 144 daripada 258 kumpulan eksport dan 182 daripada 259 kumpulan import mencatatkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
DOSM berkata peningkatan eksport disokong terutamanya oleh kenaikan penghantaran ke Amerika Syarikat (AS) sebanyak RM14.7 bilion, diikuti Taiwan (RM7.5 bilion), China (RM4.8 bilion), Singapura (RM4.3 bilion), Kesatuan Eropah (EU) (RM4.0 bilion), Hong Kong (RM3.8 bilion) dan Vietnam (RM3.7 bilion).
Sementara itu, peningkatan import sebahagian besarnya mencerminkan aliran masuk yang lebih tinggi dari China sebanyak RM17.2 bilion, diikuti Singapura (RM7.9 bilion), Korea Selatan (RM6.4 bilion), India (RM2.7 bilion), AS (RM2.1 bilion), EU (RM2.0 bilion) dan Thailand (RM1.7 bilion).
“Jumlah perdagangan, eksport dan import bagi tempoh Januari hingga Julai 2026 mencatatkan peningkatan. Jumlah perdagangan merekodkan peningkatan dua digit sebanyak 24.7 peratus daripada RM1.7 trilion kepada RM2.2 trilion.
“Ini selaras dengan peningkatan eksport sebanyak 29.2 peratus dan import sebanyak 19.8 peratus. Selain itu, lebihan dagangan meningkat 138.7 peratus kepada RM170.5 bilion,” katanya.
-- BERNAMA