BERITA TERKINI   Surat pemakluman kekosongan kerusi Parlimen Petaling Jaya telah dihantar kepada SPR - Timbalan Speaker  | Yang Dipertua Dewan Rakyat terima surat peletakan jawatan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung 2 Okt lepas - Timbalan Speaker | Dewan Rakyat ucap takziah kepada Tun Dr Mahathir dan keluarga atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah | Laporan Ketua Audit Negara 2/2026 dibentang di Dewan Rakyat hari ini, merangkumi 15 naskhah berkaitan kewangan dan aktiviti kerajaan | 

Pembangunan Pesisir Pantai Labuan Berpeluang Jadi Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi

LABUAN, 20 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Labuan mengusulkan supaya projek pembangunan pesisir pantai Labuan dijadikan antara agenda utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memanfaatkan potensi pulau bebas cukai itu yang masih belum diterokai sepenuhnya.

Cadangan pembangunan berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Labuan pada masa depan, selain memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan dan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail hari ini mengetuai delegasi perbadanan itu dalam pertemuan dengan pegawai Kementerian Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Wilayah Persekutuan bagi memberikan taklimat mengenai keperluan merealisasikan cadangan projek berkenaan.

Ad Banner

Beliau berkata kepada Bernama bahawa cadangan pembangunan pesisir pantai Labuan melibatkan dua lokasi strategik, iaitu kawasan dari Lestari Niaga hingga tapak bekas pasar serta kawasan pesisir Nagalang.

Rithuan berkata projek itu bukan sekadar pembangunan pesisir pantai konvensional, sebaliknya dirancang sebagai pemangkin berimpak tinggi yang melengkapi projek pembangunan utama lain di pulau berkenaan.

“Pembangunan ini dijangka mengubah landskap pelancongan Labuan dengan mewujudkan tarikan baharu, selain membuka peluang ekonomi serta manfaat limpahan kepada masyarakat setempat dan sektor perniagaan,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata usaha mendapatkan sokongan serta memberikan kementerian dan agensi berkaitan gambaran yang jelas mengenai keperluan projek itu penting bagi memastikan cadangan berkenaan dapat direalisasikan.

-- BERNAMA