BERITA TERKINI   PM Anwar adakan lawatan kerja ke Brunei pada 21-22 Ogos bagi hadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 - Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei | Malaysia-Brunei dijangka memeterai MoU kerjasama pengurusan bencana - Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei | PM Anwar bakal buat pengumuman penting negara pada 30 Ogos dan 16 Sept ini | PM Anwar arah siasatan terhadap anak syarikat Khazanah, kesan aspek pelanggaran tatakelola | PM Anwar arah siasatan terhadap anak syarikat Khazanah, kesan aspek pelanggaran tatakelola | 

FBM KLCI Diperluas Kepada 50 Kaunter, FBM 70 Dikurangkan

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd dan FTSE Russell, bahagian perniagaan milik penuh London Stock Exchange Group (LSEG), akan menambah baik metodologi indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dan FTSE Bursa Malaysia Mid 70 (FBM 70) susulan proses rundingan awam yang dijalankan awal tahun ini.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak memaklumkan penambahbaikan FBM KLCI akan dilaksanakan secara berperingkat, pendekatan yang telah digunakan FTSE Russell dalam pelaksanaan perubahan indeks utama di peringkat global.

Menurut kenyataan itu, pendekatan berkenaan bertujuan memastikan peralihan secara teratur dengan membantu mengurangkan aliran dagangan yang tertumpu, meminimumkan kesan terhadap pasaran serta memudahkan pelarasan portfolio oleh peserta pasaran.

Ad Banner

Pelaksanaan akan bermula 21 Dis 2026, selaras dengan jadual semakan indeks FTSE Russell.

Pada fasa pertama, 20 kaunter baharu akan ditambah ke dalam FBM KLCI pada 50 peratus daripada wajaran akhir masing-masing.

Pada fasa kedua, 20 kaunter berkenaan akan mencapai 100 peratus daripada wajaran akhir masing-masing, sekali gus melengkapkan peralihan kepada FBM KLCI yang ditambah baik berkuat kuasa 21 Jun 2027.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Dalam pada itu, jumlah kaunter dalam FBM 70 akan dikurangkan daripada 70 kepada 50 mulai 21 Dis 2026 bersempena semakan indeks, dengan semua perubahan kaunter berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

“FBM KLCI akan diperluas daripada 30 kepada 50 kaunter, meningkatkan perwakilan permodalan pasaran Pasaran Utama daripada kira-kira 60 peratus kepada 70 peratus berdasarkan simulasi menggunakan data Jun 2026.

“Susulan peluasan FBM KLCI, FBM 70 akan dikurangkan daripada 70 kepada 50 kaunter dan dinamakan semula sebagai FTSE Bursa Malaysia Mid Cap Index. Indeks FTSE Bursa Malaysia Top 100 kekal dengan 100 kaunter,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed berkata peningkatan perwakilan merentasi sektor dan syarikat akan membolehkan FBM KLCI yang ditambah baik mencerminkan landskap ekonomi Malaysia dengan lebih meluas, selain mengekalkan kerelevanan yang diperlukan pelabur daripada indeks penanda aras utama negara.

“Ini juga akan meningkatkan keterlihatan lebih banyak syarikat Malaysia serta memastikan indeks terus berkembang seiring dengan perkembangan pasaran yang diwakilinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Ekuiti dan Pelbagai Aset FTSE Russell Gerald Toledano berkata penambahbaikan FBM KLCI merupakan langkah penting bagi memastikan indeks penanda aras utama Malaysia kekal mencerminkan pasaran, sesuai untuk pelaburan serta sejajar dengan keperluan pelabur domestik dan antarabangsa.

Beliau berkata FTSE Russell berharap dapat bekerjasama rapat dengan Bursa Malaysia dan peserta pasaran bagi memastikan peralihan serta pelaksanaan perubahan itu berjalan lancar.

-- BERNAMA