TM Berminat Sertai Projek Rangkaian Kabel Dasar Laut Salam
KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Telekom Malaysia Bhd (TM) berminat untuk menyertai projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM), kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Amar Huzaimi Md Deris.
Beliau memberitahu TM optimis dalam menilai pilihan untuk meningkatkan kesalinghubungan di antara Malaysia Timur dengan Barat menerusi projek berkenaan.
“Kami optimis dalam menilai pilihan untuk menghubungkan Malaysia Timur dan Barat. Sudah tentu SALAM merupakan satu daripada projek yang kami berminat untuk sertai,” katanya kepada pemberita pada taklimat media mengenai keputusan suku kedua 2026 TM di sini hari ini.
Pada 16 Julai, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjemput pemegang lesen yang layak untuk mengemukakan draf cadangan bagi inisiatif SALAM, sebuah projek strategik nasional di bawah rangka kerja Pemberian Perkhidmatan Sejagat.
Inisiatif SALAM akan mewujudkan sistem kabel dasar laut baharu yang menghubungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak merangkumi 10 Stesen Pendaratan Kabel yang dihubungkan melalui empat segmen kabel dasar laut sepanjang kira-kira 5,582 kilometer.
MCMC memberitahu projek itu direka bagi memperkukuh daya tahan, kebolehpercayaan dan kesinambungan rangkaian komunikasi negara.
Sementara itu, Amar Huzaimi berkata kumpulan itu optimis terhadap prestasinya pada separuh kedua tahun ini dengan momentum positif menerusi ketiga-tiga segmen perniagaannya iaitu Unifi, TM One dan TM Global yang dijangka berterusan meningkat.
“Kami mencatatkan rekod yang baik pada tahun ini merentasi ketiga-tiga teras perniagaan. Unifi, TM One dan TM Global semuanya mencatatkan trajektori pertumbuhan yang positif dan kami menjangkakan momentum ini akan berterusan pada separuh kedua tahun ini,” katanya.
-- BERNAMA