BERITA TERKINI   SUKMA 2026: Johor menang emas bola sepak lelaki selepas atasi Selangor 4-2 menerusi penentuan penalti | Liga Super:Kelantan Red Warrior 1-4 Selangor FC | 

Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Lebih Tinggi Minggu Depan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan disokong oleh permintaan yang lebih kukuh dan kebimbangan terhadap kemungkinan kekangan bekalan.

Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menyatakan permintaan getah dijangka mengukuh khususnya di China yang memberi komitmen untuk melaksanakan langkah dasar fiskal tambahan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

Ad Banner

“Pada masa sama, permintaan terhadap getah asli premium dan yang diperoleh secara mampan juga dijangka meningkat apabila pengeluar sarung tangan Malaysia memberi penekanan lebih besar terhadap kebolehkesanan serta kemampanan di bawah keperluan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR),” katanya kepada Bernama.

Selain itu, MARGMA memaklumkan kebimbangan berterusan berhubung fenomena El Niño berpotensi mengganggu pengeluaran getah dan mengehadkan bekalan di seluruh negara pengeluar utama getah.

Sementara itu, pakar industri Denis Low berkata pasaran getah Malaysia dijangka menunjukkkan aliran meningkat sedikit pada minggu depan disokong oleh potensi permintaan pengisian semula stok dari China selain harga minyak mentah yang lebih kukuh.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Katanya, peningkatan itu berlaku walaupun ketidaktentuan geopolitik serta turun naik mata wang mungkin terus mempengaruhi sentimen pasaran.

“Laporan mengenai pengisian semula getah kering dalam jumlah yang besar di China boleh memberikan sedikit momentum peningkatan sekiranya jumlah pembelian adalah ketara manakala harga minyak yang lebih tinggi juga mungkin menyokong harga getah asli.

“Bekalan dan permintaan kekal agak seimbang walaupun ketidaktentuan kadar pertukaran asing serta cuaca buruk di kawasan pengeluaran utama boleh mempengaruhi harga,” katanya.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 38 sen kepada 947.0 sen sekilogram manakala lateks pukal susut sembilan sen kepada 679.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA