Pelaporan ESG Buka Peluang Baharu Bagi Pasaran IPO Malaysia
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Pasaran tawaran awam permulaan (IPO) Malaysia kini memasuki fasa baharu bagi memperkukuh pendedahan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Ini memandangkan setiap syarikat diwajibkan menyediakan maklumat yang lebih terperinci mengenai prestasi kelestarian masing-masing.
Naib Presiden ESGpedia Jozsef Acabo berkata maklumat sedemikian menjadi semakin penting kepada pelabur dalam membuat keputusan pelaburan.
Beliau memaklumkan pelaporan ESG menghendaki syarikat untuk mendedahkan cara mereka menguruskan isu seperti pelepasan karbon, penggunaan tenaga, kesan alam sekitar dan perkara kelestarian lain selain prestasi kewangan mereka.
Memetik laporan Deloitte’s Southeast Asia Mid-Year IPO Snapshot 2026, beliau memberitahu pasaran modal Malaysia kekal kukuh dengan 36 syarikat disenaraikan dalam separuh pertama 2026 yang berjaya meraih US$1.34 bilion.
Bagaimanapun, katanya, para pelabur turut menekankan kualiti pendedahan ESG syarikat khususnya apabila Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF) Malaysia diperluas kepada semua penerbit Pasaran Utama pada tahun ini.
“Syarikat yang baharu disenaraikan akan mengalami penyesuaian pematuhan dalam jangka pendek namun risiko yang lebih besar terhadap momentum itu adalah pendedahan yang lemah dan akan menyebabkan dana global menilai saham tersebut pada harga diskaun.
“Pendedahan yang tidak lengkap dianggap sebagai risiko yang belum dinilai dan para pelabur akan mengambil kira risiko berkenaan dalam penetapan harga,” katanya kepada Bernama.
Acabo menyatakan syarikat yang gagal menyediakan maklumat ESG yang mencukupi boleh berdepan dengan kos pembiayaan yang lebih tinggi, penilaian syarikat yang lebih rendah serta lebih banyak persoalan daripada pelabur sebelum mereka membuat keputusan untuk melabur.
Keperluan pelaporan dijangka menjadi lebih ketat pada 2027 apabila syarikat perlu mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai pelepasan Skop 3 yang merujuk kepada pelepasan karbon daripada aktiviti di seluruh rantaian bekalan syarikat.
“Sebagai contoh, sesebuah syarikat pengeluar mungkin mengetahui jumlah tenaga elektrik dan bahan api yang digunakannya, namun mereka mungkin tidak mempunyai maklumat mengenai pelepasan karbon yang dihasilkan oleh pembekal mereka. Pelepasan ini membentuk sebahagian daripada Skop 3,” jelas beliau.
Acabo memaklumkan Skop 3 boleh menyumbang antara 70 hingga 90 peratus daripada jumlah jejak karbon sesebuah syarikat sekali gus menjadikan para pembekal sebagai bahagian penting dalam proses pelaporan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, laporan kajian daripada Eco-Business menunjukkan hanya 11 peratus daripada syarikat senaraian awam Malaysia mendedahkan pelepasan Skop 3 pada kitaran pelaporan 2023 berbanding 39 peratus di rantau Asia-Pasifik.
“Ini bermakna tekanan tidak hanya tertumpu kepada syarikat senaraian awam yang besar. Para pembekal mereka termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga akan dituntut untuk menyediakan maklumat yang boleh dipercayai mengenai pelepasan karbon mereka,” katanya.
Menurut Acabo kebanyakan syarikat masih mengumpul maklumat ESG secara manual dengan data disimpan dalam pelbagai lembaran kerja, laman sesawang dan anak syarikat yang berbeza sekali gus menyukarkan usaha untuk mengesahkan ketepatannya.
“Anjakan sebenar yang diperlukan adalah ke arah perakaunan karbon digital secara berterusan dan bukannya sekadar proses pelaporan tahunan,” katanya.
Beliau menggesa syarikat dan PKS supaya mula mengumpul data berkaitan agar maklumat tersebut dapat diperiksa dan disahkan dengan sewajarnya sebelum keperluan baharu tersebut berkuat kuasa.
-- BERNAMA