BERITA TERKINI   Industri seni tidak terurus satu tragedi, tekan kehidupan seniman - PM Anwar | Seni dan budaya bukan alat propaganda picisan dan murahan - PM Anwar | Acuan Timur perlu kekalkan akhlak, bukan neokonservatif - PM Anwar | Negara yang ingin maju harus terima kenyataan generasi muda mahu suasana yang lebih bebas, terbuka - PM Anwar | Jerebu rentas sempadan: Kerajaan hargai Indonesia benarkan rentas ruang udara bagi pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan - Arthur | 

Khazanah Sasar Lebih Banyak Syarikat Pemula Berkembang Susulan Kejayaan Skyechip

Oleh Karina Imran dan Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) berharap lebih banyak syarikat pemula niaga akan bertindak mengembangkan usaha masing-masing dan memanfaatkan peluang perniagaan di bawah program Dana Impak.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata ini berikutan dana kekayaan berkenaan menyaksikan penyertaan kukuh kalangan penggiat modal teroka dalam pertumbuhan SkyeChip Bhd yang boleh dicontohi oleh syarikat lain.

Ad Banner

Beliau berkata pengalaman SkyeChip juga membuktikan bagaimana manfaat modal teroka dapat membantu syarikat di peringkat awal untuk berkembang sebelum dapat menarik sokongan lanjut daripada pihak institusi berkaitan.

Pada masa sama, dana kekayaan negara itu berharap kejayaan SkyeChip dapat menarik lebih banyak penyertaan penggiat modal teroka.

“Kami melihat banyak dana teroka dan susulan itu, syarikat berkenaan dapat berkembang,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama di sini pada Khamis.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj selain Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson. 

Dalam kunjungan itu, Amirul Feisal mengadakan pertemuan dengan pengurusan Bernama dan turut diberikan taklimat mengenai operasi agensi berita nasional berkenaan. 

Berkongsi selanjutnya kepada Bernama, Amirul Feisal berkata sebelum tawaran awam permulaan (IPO) SkyeChip, Khazanah mengambil langkah strategik menjadi pelabur teras dan membantu syarikat berkenaan meraih kejayaan dalam langkah IPO.

Bantuan Khazanah yang disalurkan menerusi program Dana Impak juga bukanlah sesuatu yang asing atau baru berlaku.

SkyeChip merupakan syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) dengan kepakaran khusus dalam harta intelek (IP) silikon dan produk silikon dan berjaya mencatatkan prestasi memberangsangkan sewaktu disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia baru-baru ini apabila ditawarkan pada RM3.50, melonjak RM2.62 atau 297.7 peratus berbanding harga IPO sebanyak 88 sen.

Sebelum disenaraikan, IPO syarikat itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelabur runcit dengan sejumlah 74,453 permohonan diterima bagi 3.45 bilion saham yang mencatatkan lebihan langganan sebanyak 95 kali.

SkyeChip juga berjaya mengumpul sebanyak RM352 juta menerusi langkah IPO berkenaan.

Amirul Feisal menyifatkan penyertaan meluas daripada pelbagai pihak dalam ekosistem berkenaan sebagai penting dalam membolehkan lebih banyak syarikat mengikuti serta mendapat manfaat daripada trajektori pertumbuhan sama.

Mengulas sektor dengan potensi besar, beliau berkata ini termasuk semikonduktor yang pada masa ini mendapat sambutan susulan dipacu oleh permintaan berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Sektor semikonduktor adalah antara yang mempunyai banyak potensi...sudah pasti ini disebabkan keadaan dunia masa kini yang memberi tumpuan terhadap keperluan meningkatkan aspek seperti kelengkapan dan jentera AI.

“Itu dari satu sektor tertentu, tetapi saya yakin ini tidak berhenti setakat itu. Sebagai contoh, ada banyak inovasi yang kami lihat, tidak kiralah robotik atau agriteknologi. Terdapat banyak bidang lain yang mana negara, serta dunia perlukan penambahbaikan,” katanya.

Menyentuh peranan Khazanah, Amirul Feisal berkata dana kekayaan negara itu berperanan sebagai pemangkin sepertimana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat sokongan daripada peringkat awal sehingga ke peringkat berpotensi untuk disenaraikan.

“Kami bekerjasama dengan penggiat modal teroka dan seterusnya berharap pelabur lain dapat menyertai peringkat seterusnya,” kata beliau.

Amirul Feisal berkata program peringkat awal Khazanah adalah dirangka untuk menarik lebih banyak penyertaan pengurus dana baharu dan serantau ke Malaysia selain menyediakan lebih banyak modal permulaan kepada syarikat peringkat pertengahan.

“Apabila wujud peluang untuk IPO, barulah kami akan mempertimbangkannya iaitu sama ada untuk menyertainya atau mungkin juga GLIC lain.

“Namun, peranan kami adalah untuk mewujudkan satu ekosistem yang kukuh,” katanya.

-- BERNAMA