Untung Bersih Sime Darby Property Lonjak 124.4 Peratus Kepada RM322.03 Juta
KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Sime Darby Property Bhd melonjak 124.4 peratus kepada RM322.03 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 daripada RM143.54 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu memaklumkan peningkatan keuntungan bersih berkenaan didorong terutamanya prestasi asas yang lebih kukuh dalam segmen pembangunan hartanah serta pelaburan dan pengurusan aset.
Prestasi itu turut disokong keuntungan nilai saksama daripada hartanah pelaburan yang diiktiraf selepas aset berkenaan siap, selain bahagian keputusan usaha sama yang lebih baik.
Hasil kumpulan meningkat kepada RM1.16 bilion daripada RM1.06 bilion, didorong prestasi segmen pelaburan dan pengurusan aset serta peningkatan hasil daripada segmen pembangunan hartanah, yang sebahagiannya diimbangi sumbangan lebih rendah daripada segmen golf dan sukan.
“Hasil segmen pembangunan hartanah kekal berdaya tahan pada RM1.78 bilion, manakala keuntungan segmen meningkat 21.3 peratus kepada RM457.2 juta, didorong prestasi asas yang kukuh merentasi perbandaran utama termasuk Bandar Bukit Raja, Elmina Business Park, City of Elmina, Serenia City dan KLGCC Resort,” menurutnya.
Sementara itu, hasil segmen pelaburan dan pengurusan aset meningkat kepada RM137.8 juta, manakala segmen golf dan sukan mencatatkan hasil RM42.4 juta.
Bagi tempoh enam bulan pertama 2026, keuntungan bersih Sime Darby Property meningkat kepada RM480.82 juta daripada RM261.95 juta, manakala hasil bertambah kepada RM1.95 bilion daripada RM1.93 bilion sebelumnya.
Mengenai prospek, syarikat memaklumkan momentum jualan kekal kukuh dengan jualan RM1.8 bilion bagi 1H 2026, disokong tempahan RM1 bilion setakat 9 Ogos 2026 serta jualan belum dibilkan sebanyak RM3.8 bilion.
Menurut syarikat, kedudukan itu memberikan keterlihatan terhadap pendapatan dan aliran tunai bagi tempoh lebih tiga tahun akan datang.
“Kumpulan kekal positif terhadap prospek bagi baki tahun ini, disokong permintaan berterusan di seluruh perbandarannya serta saluran pelancaran yang pelbagai.
“Pada separuh kedua 2026, kumpulan akan terus melancarkan pelbagai produk bagi memenuhi permintaan pasaran, khususnya dalam segmen kediaman, perindustrian dan komersial,” menurutnya.
Sime Darby Property memaklumkan, dengan mengambil kira tiada keadaan luar jangka, kumpulan kekal berada di landasan untuk mencapai sasaran jualan RM4 bilion bagi 2026 serta pelancaran bernilai RM4.7 bilion.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Azmir Merican berkata permintaan terhadap perbandaran teras dan pembangunan perindustrian kumpulan kekal kukuh, disokong saluran pelancaran yang sihat, jualan belum dibilkan yang tinggi serta portfolio pendapatan berulang yang semakin berkembang.
“Pengumuman dasar dividen mencerminkan keyakinan kami terhadap keupayaan kumpulan menjana pendapatan dan aliran tunai operasi yang mampan, khususnya apabila pendapatan berulang menjadi penyumbang yang semakin besar kepada keuntungan keseluruhan di bawah SHIFT32 (pelan strategik),” katanya.
Sime Darby Property mengisytiharkan dividen sebanyak 1.7 sen sesaham bagi 2Q 2026, meningkat 13 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, dengan jumlah pembayaran sebanyak RM115.6 juta.
-- BERNAMA