Batu Kawan Catat Kerugian Bersih RM653.16 Juta Pada Suku Ketiga Susulan Rosot Nilai RM1.62 Bilion

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Batu Kawan Bhd (Batu Kawan) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM653.16 juta pada suku ketiga 2026 yang berakhir pada 30 Jun 2026, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM182.92 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

Kerugian tersebut sebahagian besarnya disebabkan oleh kerugian rosot nilai sebanyak RM1.62 bilion ke atas pelaburan anak syarikatnya, Kuala Lumpur Kepong dalam syarikat bersekutu yang disenaraikan di United Kingdom, Synthomer plc.

Pendapatannya meningkat kepada RM7.24 bilion daripada RM6.60 bilion dalam suku yang sama tahun lepas, disokong oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada kedua-dua segmen pembuatan dan perladangan. 

Ad Banner

“Rosot nilai ini bersifat perakaunan dan tidak menjejaskan aliran tunai operasi, kedudukan mudah tunai dan keupayaan pembayaran hutang atau kapasiti pembayaran dividen kumpulan,” jelas Batu Kawan dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 

Menurut kumpulan perladangan, pembuatan kimia dan pemaju hartanah itu, dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, dengan tahun kewangan berakhir 30 September 2026, ia mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM306.04 juta berbanding keuntungan bersih sebanyak RM398.40 juta tahun lepas. 

Sementara itu, pendapatan meningkat kepada RM20.47 bilion daripada RM19.24 bilion tahun lepas, disokong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi dan kos pengeluaran yang lebih rendah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Syarikat itu menjangkakan segmen perladangannya akan terus menunjukkan prestasi yang kukuh, disokong oleh paras pengeluaran yang lebih baik dan harga produk sawit yang menguntungkan, walaupun kos operasi dijangka kekal tinggi. 

Menurut kumpulan itu, bahagian oleokimia juga dijangka mendapat manfaat daripada keadaan pasaran yang bertambah baik, manakala operasi penapisan dan penghancuran isirong berkemungkinan kekal mencabar di tengah-tengah tekanan margin dan kapasiti berlebihan dalam industri. 

“Bahagian kimia perindustrian terus menunjukkan prestasi yang stabil, disokong oleh permintaan yang lebih tinggi.

“Prestasi kumpulan juga terus disokong oleh segmen perladangan sebagai pemacu pendapatan utama,” katanya. 

Dalam pada itu, walaupun keadaan makroekonomi dan geopolitik yang tidak menentu, kumpulan tersebut kekal optimis dan berhati-hati untuk mencapai prestasi yang menggalakkan sepanjang tahun ini. 

-- BERNAMA