Kuantan Port Sasar Pelbagaikan Kargo Cecair, Kendali Sehingga 30 Juta Tan LCO2 Setahun
KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (Kuantan Port) menyasarkan pengendalian karbon dioksida cecair (LCO2) mencecah lima juta tan setahun menjelang 2030 bagi fasa pertama dan seterusnya berpotensi melonjak kepada 30 juta tan setahun menjelang 2050.
Ketua Pegawai Komersial Kuantan Port Mazlim Husin berkata pelabuhan itu telah bekerjasama dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) yang boleh mendorong kepada peningkatan peranan kargo cecair di pelabuhan berkenaan.
Beliau berkata Petronas telah memeterai satu perjanjian bagi tujuan memajak atau pajakan semula kira-kira 60 hektar tanah di Kuantan Port bagi tujuan pembangunan sebuah terminal.
“Kami mempunyai kerjasama dengan Petronas. Ada kira-kira 60 hektar tanah untuk dipajak atau dipajak semula oleh Petronas daripada kami yang membabitkan (pembangunan) sebuah terminal.
“Terdapat pengimportan LCO2 misalnya dari Jepun yang diangkut dengan kapal khas dari negara itu ke Kuantan dan seterusnya di terminal Petronas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Panel CEO: Pelabuhan dan Perkapalan di persidangan LogiSYM Malaysia 2026, baru-baru ini.
Mazlim berkata karbon dioksida (CO2) terbabit akan disediakan mengikut spesifikasi dan tekanan diperlukan sebelum disalurkan menerusi saluran paip sepanjang 250 kilometer untuk dimasukkan ke dalam tempat simpanan geologikal tetap di luar pesisir.
Berikutan itu, Kuantan Port menjangkakan kargo dalam bentuk cecair itu akan berperanan penting dalam aspek campuran kargo kendaliannya di masa depan.
Selain daripada mengimport CO2, Mazlim berkata Kuantan Port juga berpotensi memberi perkhidmatan kepada pihak lain dari serata Semenanjung Malaysia menerusi kesalinghubungan rel.
Pengendali kilang keluli dan simen berpotensi mengangkut LCO2 berkenaan menggunakan laluan kereta api dari pantai barat ke pelabuhan Kuatan sebelum disimpan dalam tempat simpanan tetap di luar pesisir
Mazlim berkata pihaknya bekerjasama erat dengan Petronas dengan projek disasarkan itu dijangka dapat memasuki fasa pelaksanannya pada 2027.
“Pada masa ini, kami sedang bekerjasama erat dengan Petronas. Menjelang tahun depan, kami berharap dapat memuktamadkannya dan diharapkan projek ini akan berjaya,” katanya.
-- BERNAMA