Dari Aiskrim Malaysia Ke Sabrina Desserts House, OKU Buktikan Cabaran Bukan Halangan
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
SUNGAI BULOH, 25 Ogos (Bernama) -- Bermula dengan menjual aiskrim Malaysia bagi membantu keluarga mendapatkan sumber pendapatan ketika pandemik COVID-19, Nur Sabrina Md Salleh kini mengusahakan perniagaan pencuci mulut menerusi Sabrina Desserts House.
Ibu kepada dua anak itu membuktikan kekurangan diri bukan penghalang untuk mengubah minat kepada sumber pendapatan apabila mengembangkan perniagaannya sehingga memiliki sebuah kedai makanan dan minuman, hanya dua tahun selepas memulakan langkah sebagai usahawan.
Pada ketika itu, Nur Sabrina, 31, yang merupakan suri rumah, mengambil inisiatif membantu suaminya selepas kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.
Minat mendalam terhadap bidang masakan sejak dahulu turut mendorong wanita itu mengejar impian untuk bergelar cef.
“Pada mulanya saya belajar sendiri menghasilkan pastri dan kek sebelum berkongsi hasilnya untuk mendapatkan maklum balas.
“Apabila ramai memberikan maklum balas positif dan mula membuat tempahan, saya menjadi lebih bersemangat,” katanya kepada Bernama menerusi jurubahasa isyarat Goh Soo Leng dari Persekutuan Orang Pekak Malaysia.
Cabaran membina perniagaan
Bagi Nur Sabrina, membina perniagaan bukan sekadar menghasilkan pencuci mulut yang sedap, sebaliknya menuntutnya mempelajari pelbagai aspek pengurusan perniagaan dari asas.
Sebagai individu orang kurang upaya (OKU), cabaran itu dilaluinya dengan banyak bergantung kepada pemerhatian, pengalaman serta penyertaan dalam kursus bagi memahami selok-belok pengurusan perniagaan.
“Saya banyak belajar dan melihat sendiri bagaimana orang lain menguruskan perniagaan dan mengendalikan kewangan selain menghadiri pelbagai kursus keusahawanan,” katanya.
Menurut Nur Sabrina, perniagaan secara tempahan membolehkannya menyesuaikan pengeluaran m
Beliau mengambil masa lebih enam bulan untuk membina keyakinan sebelum berani memasarkan produknya secara lebih meluas, termasuk mengambil peluang menyertai Bazar Ramadan.
Antara produk yang mendapat sambutan ialah tiramisu, kek keju mangga dan kek batik, manakala tempahan turut diterima daripada beberapa kafe di Shah Alam.
“Kadang-kadang mereka akan beritahu variasi yang mereka mahu dan sebagainya. Ada juga kafe di Shah Alam yang membuat tempahan untuk diletakkan di kafe.
“Jadi saya akan tentukan set yang diperlukan dan kuantitinya sebelum membuat penghantaran,” katanya.
Peluang bina keyakinan
Nur Sabrina turut mendapat peluang menyertai Inisiatif Mawaddah EXIM Bank yang memberinya ruang mempromosikan produk, mendapat pendedahan pasaran serta berhubung dengan pelanggan berpotensi.
Pengalaman itu turut membuka peluang kepadanya mengendalikan jualan pada skala lebih besar, sekali gus meningkatkan keyakinannya sebagai seorang usahawan.
“Apabila saya melihat sambutan yang baik, saya rasa lebih positif dan mahu mendalami lagi ilmu perniagaan ini.
“Pengalaman yang saya peroleh melalui peluang yang diberikan juga membuatkan saya lebih teruja untuk terus ke hadapan,” katanya.
Inisiatif Mawaddah merupakan platform Kewangan Sosial Islam EXIM Bank yang memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan, pendidikan, penjagaan kesihatan, bantuan kemanusiaan dan kerjasama strategik.
Sasar buka kafeteria
Melangkah ke hadapan, Nur Sabrina berharap dapat terus mengembangkan Sabrina Desserts House dan merealisasikan impiannya membuka sebuah kafeteria yang boleh diterima masyarakat.
Menurutnya, selain peluang dan akses pasaran, penguasaan ilmu pengurusan perniagaan akan terus menjadi keutamaan bagi memastikan perniagaannya berkembang secara lebih teratur.
“Sebenarnya saya harapkan lebih banyak bantuan yang boleh diperoleh, terutama dari segi ilmu pengetahuan dalam pengurusan perniagaan.
“Pada masa sama, saya berharap dapat menubuhkan sebuah kafeteria yang boleh dilihat dan diterima oleh masyarakat,” katanya.
Nur Sabrina berharap kisahnya dapat memberi keyakinan kepada golongan OKU lain untuk menceburi bidang keusahawanan, khususnya mereka yang masih ragu-ragu untuk mengambil langkah pertama.
Katanya, kekurangan yang dimiliki tidak seharusnya menyebabkan seseorang menganggap dirinya tidak mampu melakukan sesuatu, sebaliknya setiap peluang perlu dimanfaatkan dengan keyakinan dan kesungguhan.
“Untuk kami, kita sepatutnya mencuba, perlu ke hadapan dan menunjukkan kebolehan serta kemampuan. Tidak kira apa cabaran yang kita lalui, kita perlu cuba kerana daripada situ barulah kita tahu sejauh mana kemampuan kita.
“Walaupun kita tidak boleh mendengar, kita masih boleh melakukan banyak perkara. Tangan ini boleh menghasilkan pelbagai kreativiti dan produk.
“Yang paling penting ialah mempunyai keyakinan diri dan jangan mudah berputus asa kerana Insya-Allah memang ada peluang,” katanya.
-- BERNAMA