BERITA TERKINI   Tabung Pos ditubuhkan dengan dana RM150 juta di bawah seliaan MCMC, beroperasi suku pertama 2027 – Fahmi | Agong kurnia Darjah Utama Seri Mahkota Negara kepada Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi  | Syed Saddiq, Bella Astillah sah bergelar suami isteri sekitar 10.40 pagi hari ini | Wakil Malaysia, Nur Syakura Mohamad Musa, dinobatkan juara kategori tilawah Al-Quran wanita pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-66 | Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi tiba di Istana Negara pada pukul 10.08 pagi, diberi sambutan negara. | 

Mekanisme Cukai Belanjawan 2027 Manfaat Golongan Berpendapatan Rendah, Sederhana - MIA

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Mekanisme cukai dalam Belanjawan 2027 memberi sokongan lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, menurut Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Naib Presidennya Ahmad Syahazan Yaacob berkata penyelarasan julat cukai pendapatan individu dan pelepasan cukai peribadi di bawah Belanjawan 2027 mengambil kira peningkatan kos sara hidup serta komitmen isi rumah.

“Langkah ini dapat membantu meningkatkan kesaksamaan cukai serta memberi sokongan yang lebih besar kepada pembayar cukai terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ad Banner

“Penerapan langkah ini dalam Belanjawan 2027 mendedahkan kepentingan libat urus yang membina di antara pihak profesional dengan pembuat dasar,” katanya dalam satu kenyataan.

MIA merupakan badan berkanun yang bertanggungjawab untuk membangunkan dan mengawal selia profesion perakaunan di Malaysia di bawah Akta Akauntan 1967.

Di bawah Belanjawan 2027, kadar cukai bagi pendapatan bercukai antara RM70,001 hingga RM100,000 akan dikurangkan kepada 18 peratus manakala julat cukai baharu sebanyak 24 peratus akan dikenakan bagi pendapatan bercukai antara RM100,001 hingga RM150,000.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Had pelepasan cukai individu juga akan dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000 manakala individu yang mempunyai pendapatan bercukai melebihi RM1 juta akan dikenakan cukai pada kadar 30 peratus.

Sementara itu, MIA menyatakan Belanjawan 2027 turut memperkukuh penekanan kerajaan terhadap aspek tadbir urus dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan awam, selain langkah percukaian.

“Langkah bagi memastikan bayaran balik pinjaman dan pendapatan faedah berkaitan yang dikutip oleh Badan Berkanun Persekutuan digunakan semata-mata untuk tujuan yang diluluskan akan memperkukuh akauntabiliti dalam pengurusan kewangan awam.

“Rang Undang-Undang Entiti Milik Kerajaan yang dicadangkan akan memperkukuh pengawasan terhadap syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun sekali gus memastikan akauntabiliti yang jelas serta pengawasan yang berkesan dalam pengurusan sumber awam,” jelasnya.

MIA turut memberitahu bahawa Belanjawan 2027 memberi penekanan yang tinggi terhadap daya tahan dan kesejahteraan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Langkah yang memberi tumpuan kepada PKS di bawah Belanjawan 2027 termasuk insentif cukai, kemudahan pembiayaan dan jaminan, peluang penjanaan modal, pengambilalihan digitalisasi serta kecerdasan buatan (AI), pembangunan eksport dan insentif kelestarian, memberi implikasi yang ketara kepada profesion perakaunan, tambahnya.

Langkah lain yang disambut baik oleh MIA termasuk inisiatif Belanjawan 2027 mengenai kelestarian, kewangan Islam, pembangunan bakat dan pendidikan serta perubahan digital.

-- BERNAMA