Belanjawan 2027: Cradle Sambut Baik Peruntukan RM41 Juta Perkukuh Ekosistem Pemula Niaga
KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Peruntukan sebanyak RM41 juta dalam Belanjawan 2027 akan membantu memajukan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup (SUPER) serta memperkukuh komitmen kerajaan untuk memperkasa ekosistem inovasi Malaysia dan mempercepat transformasi digital.
Agensi bagi syarikat pemula niaga tahap awal, Cradle Fund Sdn Bhd memaklumkan peruntukan itu juga akan memperluas penembusan teknologi “Made by Malaysia” ke pasaran serantau dan global.
Menurut Cradle Fund, melalui peningkatan akses kepada pembiayaan, peluang pengkomersialan, pembangunan keupayaan serta jaringan pasaran, Belanjawan 2027 menyediakan asas yang lebih kukuh bagi membolehkan pemula niaga berkembang, meningkatkan daya saing dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Malaysia telah membina asas yang kukuh melalui pembangunan bakat keusahawanan, teknologi dan syarikat berinovasi.
"Belanjawan 2027 memberi peluang kepada kita untuk melangkah ke fasa seterusnya dengan membantu syarikat tempatan mengkomersialkan inovasi, memperoleh pelanggan, menarik pelaburan serta mengembangkan perniagaan melangkaui pasaran domestik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke dalam satu kenyataan hari ini.
Selaras dengan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Cradle berhasrat membangunkan ekosistem pemula niaga yang lebih bersepadu bagi membolehkan syarikat tempatan membina asas perniagaan di Malaysia, mengkomersialkan inovasi dengan jayanya, berkembang ke pasaran serantau serta bersaing di peringkat global.
Usaha ini akan terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi dan pemula niaga yang terkemuka di peringkat serantau dan global.
-- BERNAMA