Belanjawan 2027: PUNB Sambut Baik Dana Pembiayaan RM500 Juta Sokong Usahawan Bumiputera
KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menyambut baik peningkatan dana pembiayaannya kepada RM500 juta daripada RM350 juta sebelum ini di bawah Belanjawan 2027 bagi menyokong usahawan bumiputera.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Izwan Zainuddin berkata peningkatan tersebut mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap peranan perbadanan itu dalam memperkasa usahawan bumiputera.
“Kami memberi jaminan bahawa amanah ini akan dilaksanakan dengan penuh integriti, berteraskan tata kelola yang baik dan telus, supaya setiap ringgit sampai kepada usahawan yang layak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Izwan berkata PUNB turut komited memastikan usahawan bumiputera mendapat sokongan sewajarnya untuk berkembang daripada pembekal kepada peneraju industri yang memacu inovasi dan automasi bertaraf global.
Menurut PUNB, peningkatan dana itu menyusuli komitmen kerajaan yang dinyatakan pada Majlis Perasmian SParK 2026, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan kerajaan mempertimbangkan peningkatan pembiayaan berdasarkan prestasi dan keberkesanan pelaksanaan mandat PUNB.
"Tumpuan Belanjawan 2027 terhadap Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA 35), selain pembangunan industri semikonduktor, kecerdasan buatan, tenaga baharu dan industri bernilai tinggi, selari dengan usaha membantu usahawan bumiputera meneroka pasaran bernilai tinggi.
“PUNB kekal komited menyokong aspirasi Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 serta akan memperincikan inisiatif selaras dengan Belanjawan 2027 dari semasa ke semasa,” maklum PUNB.
-- BERNAMA