Belanjawan 2027: KWAP Terus Gerakkan Modal Domestik Merentasi Pasaran Swasta, Sektor Strategik
KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merancang untuk menggerakkan modal merangkumi pasaran swasta, sektor strategik dan pasaran modal domestik, tertakluk kepada proses pelaburannya, pertimbangan risiko dan pulangan serta keadaan pasaran semasa.
KWAP memaklumkan pelaburan yang dirancang ini termasuk RM1.5 bilion melalui Dana Pemacu yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 bagi memperkukuh keupayaan pengurusan dana tempatan, menarik penyertaan modal swasta serta memperluas akses kepada pembiayaan bagi syarikat Malaysia yang berada pada peringkat pertumbuhan.
"Belanjawan 2027 memperlihatkan peranan penting modal domestik jangka panjang sebagai pemangkin kemajuan ekonomi Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah dalam satu kenyataan.
Beliau berkata bagi KWAP, keutamaan mereka kekal tertumpu kepada pelaburan Dana Persaraan secara berhemat bagi menjana pulangan jangka panjang yang mampan, di samping meneroka peluang pelaburan yang sejajar dengan keutamaan pembangunan Kerajaan di bawah Ekonomi MADANI.
Begitu juga, sebanyak RM200 juta lagi akan disalurkan melalui Dana Perintis bagi merancakkan ekosistem syarikat pemula niaga dan inovasi negara serta RM1 bilion melalui Dana Iklim+ bagi pelaburan berteraskan iklim untuk menyokong peralihan tenaga Malaysia.
KWAP turut merancang untuk memperuntukkan sehingga RM1 bilion bagi sektor semikonduktor, dengan memberi tumpuan kepada peluang pelaburan di sepanjang rantaian nilai bagi memperteguh keupayaan industri tempatan dan meningkatkan daya saing industri Malaysia.
Sebagai tambahan kepada komitmen tersebut, KWAP merancang untuk menyalurkan RM750 juta melalui Projek Vista Kampus bagi pembangunan kemudahan penginapan khusus pelajar yang dibina di universiti tempatan awam dan swasta terpilih bagi memenuhi keperluan infrastruktur pendidikan tinggi negara, kata Jay Khairil.
Bagi memperkukuh ekosistem inovasi Malaysia, kerajaan bersama KWAP akan mewujudkan Dana UniVC bernilai RM50 juta untuk menyokong pengkomersialan hasil penyelidikan universiti serta menggalakkan penyertaan lebih banyak modal swasta dalam pembangunan inovasi tempatan.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2027 semalam turut mengumumkan peningkatan kadar pencen minimum bulanan daripada RM1,000 kepada RM1,350, yang akan memberi manfaat kepada hampir 59,000 pesara dan penerima pencen terbitan, antara lainnya.
Selain itu, bantuan kewangan khas sebanyak RM750 turut akan disalurkan kepada pesara kerajaan .
Jay Khairil berkata komitmen ini memperkukuh peranan KWAP sebagai syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam menggerakkan modal jangka panjang bagi menyokong keutamaan ekonomi negara, dengan terus berpegang teguh pada mandat di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662), tanggungjawab fidusiari serta komitmen terhadap pesara Malaysia.
Katanya, KWAP akan terus melaksanakan pelaburan secara berhemat dan berdisiplin bagi menjana pulangan jangka panjang yang mampan, di samping memperkukuh ekosistem pelaburan Malaysia, membangunkan keupayaan domestik serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara bagi jangka panjang.
-- BERNAMA