BERITA TERKINI   Tabung Pos ditubuhkan dengan dana RM150 juta di bawah seliaan MCMC, beroperasi suku pertama 2027 – Fahmi | Agong kurnia Darjah Utama Seri Mahkota Negara kepada Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi  | Syed Saddiq, Bella Astillah sah bergelar suami isteri sekitar 10.40 pagi hari ini | Wakil Malaysia, Nur Syakura Mohamad Musa, dinobatkan juara kategori tilawah Al-Quran wanita pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-66 | Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi tiba di Istana Negara pada pukul 10.08 pagi, diberi sambutan negara. | 

Ringgit Dijangka Mengukuh Minggu Depan Susulan Petunjuk Belanjawan 2027

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan, diniagakan dalam julat RM4.07 hingga RM4.08 ketika pasaran memberi reaksi terhadap Belanjawan 2027 bagi mendapatkan petunjuk terhadap prospek ekonomi Malaysia.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan pasaran kekal dihalakan kepada Belanjawan 2027 yang dibentangkan semalam, dengan kalangan ahli ekonomi dan penganalisis terus meneliti butiran serta implikasinya dalam hari-hari mendatang.

Ad Banner

“Ada beberapa pendekatan seperti potongan cukai bagi kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dan tambahan jaminan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui institusi seperti Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC).

“Kesemua langkah ini bertujuan memastikan perniagaan kita terus berkembang maju,” katanya kepada Bernama.

Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan had pelepasan cukai pendapatan individu dinaikkan kepada RM12,000 daripada RM9,000, sekali gus memberi manfaat kepada golongan M40.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan SJPP dan CGC akan menyediakan jaminan pembiayaan berjumlah sehingga RM32 bilion pada tahun depan.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata kebimbangan berkaitan faktor luaran, khususnya perkembangan mengenai kadar faedah di Amerika Syarikat (AS), akan terus menjadi antara perkara utama yang menjadi tumpuan penggiat pasaran.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.0830/0875 daripada 4.0820/0870 pada minggu sebelumnya.

Ringgit turut diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain sepanjang minggu berkenaan.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding euro kepada 4.5807/5858 daripada 4.5927/5983 pada Jumaat sebelumnya dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5791/5821 daripada 2.5906/5941.

Namun, ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4063/4123 daripada 5.3927/3993 pada minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit mengukuh berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1896/1934 daripada 3.1908/1952 pada minggu sebelumnya selain mengukuh sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 228.1/228.4 daripada 228.2/228.6.

Selain itu, ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.50/6.51 daripada 6.52/6.54 dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.1735/1909 daripada 12.1579/1778 pada akhir minggu sebelumnya.

-- BERNAMA