BERITA TERKINI   Gesaan Ahmad Zahid untuk laksana audit forensik FELDA akan dibincang dalam mesyuarat Kabinet - PM Anwar | Sambutan Maulidur Rasul suntik semangat baharu umat Islam - PM Anwar | Islam obor yang dinamik, setiap episod hidup Rasulullah SAW itu satu pengajaran kehidupan -- PM | Anugerah Maulidur Rasul: Ayob Khan dinobat Tokoh Wira Negara | Pengasas Weststar Group Tan Sri Syed Azman penerima Tokoh Perdana Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kebangsaan 2026 | 

Musim Monsun Dijangka Redakan Impak 'El Nino Super' Ke Atas Hasil Sawit

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) – Musim monsun yang bakal tiba pada Disember dijangka membantu mengurangkan potensi impak fenomena cuaca El Niño Super terhadap pengeluaran minyak sawit Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Belvinder Sron.

Beliau memberitahu impak El Niño terhadap pengeluaran minyak sawit biasanya hanya dirasai selepas tempoh selang masa sembilan hingga 12 bulan.

Ad Banner

“Fenomena El Niño Super sebelum ini berlaku pada 2015 dan pengeluaran minyak sawit Malaysia merosot sebanyak 13 peratus atau 2.6 juta tan pada tahun berikutnya. Pada 2026, keadaan cuaca kering berlaku agak lewat dalam tahun ini berbanding pada 2015.

“Oleh itu, taburan hujan antara September dan November adalah sangat penting dalam menentukan tahap keseriusan keadaan cuaca kering dan sejauh mana impak El Niño terhadap pengeluaran minyak sawit Malaysia pada 2027,” katanya kepada Bernama.

Belvinder memaklumkan impak El Niño di seluruh Asia Tenggara adalah tidak sekata pada 2026.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, beliau berkata keadaan cuaca di Indonesia menjadi lebih kering sejak akhir Jun terutamanya di Sumatera dan Kalimantan manakala Malaysia belum mengalami cuaca kering yang kritikal walaupun suhu semakin meningkat.

Beliau menjelaskan dalam tempoh terdekat, cuaca yang lebih kering boleh meningkatkan kecekapan penuaian dan pengangkutan buah tandan segar (BTS) ke kilang dengan menambah baik laluan di ladang serta mengurangkan gangguan akibat banjir.

“Bagaimanapun, risiko yang lebih besar berpunca daripada cuaca kering berpanjangan yang berlarutan melebihi tiga bulan berturut-turut. Taburan hujan yang lebih rendah, suhu lebih tinggi dan kelembapan tanah yang merosot boleh memberi tekanan kepada pokok kelapa sawit yang akhirnya mengurangkan pengeluaran BTS dan hasil minyak selepas selang masa sembilan hingga 12 bulan.

“Ketersediaan BTS yang lebih rendah bertumpu dengan permintaan yang stabil akan menyebabkan penurunan inventori minyak sawit dan mengehadkan penawaran keseluruhan,” katanya.

 

Harga minyak sawit mentah dijangka kekal kukuh

 

Mengenai harga minyak sawit mentah (MSM), beliau berkata niaga hadapan MSM di Bursa Malaysia Derivatives meningkat melebihi RM4,900 setiap tan menjelang pertengahan Ogos manakala kontrak hadapan 2027 diniagakan melebihi RM5,000 setiap tan, mencerminkan kebimbangan pasaran yang semakin meningkat terhadap potensi impak El Niño.

Bagaimanapun, momentum peningkatan harga minyak sawit ketika ini bukan sahaja disebabkan oleh El Niño tetapi sebahagian besarnya didorong oleh ketegangan geopolitik yang turut menyokong pasaran minyak tumbuhan secara keseluruhan, kata Belvinder.

“Gangguan terhadap pelayaran di Laut Merah dan pengurangan trafik menerusi Selat Hormuz mengekalkan harga minyak mentah pada paras tinggi melebihi US$80 setong.

“Faktor masa bagi kebimbangan bekalan ini adalah menjelang musim pengisian semula stok di India sempena perayaan Diwali yang memberikan sokongan tambahan kepada pasaran minyak sayuran termasuk minyak sawit,” katanya.

Selain itu, beliau berkata permintaan minyak sawit Indonesia bagi campuran biodiesel B50 juga dijangka semakin mengukuh apabila tempoh peralihan selama tiga bulan untuk memproses baki stok biodiesel B40 berakhir pada September.

Menurut Belvinder, permintaan biodiesel domestik yang kukuh di Indonesia, dikombinasikan dengan ketidaktentuan mengenai dinamik pengeluaran minyak sawit pada 2027, meningkatkan kebimbangan pasaran terhadap ketersediaan eksport pada tahun hadapan.

“Berlatarbelakangkan perkembangan ini, harga minyak sawit diunjurkan kekal melebihi RM4,600 setiap tan pada September dengan kemungkinan kekal di atas paras tersebut sepanjang baki tahun ini.

“Pengeluaran minyak sawit Malaysia biasanya mencapai kemuncak pada September atau Ogos sebelum memasuki aliran penurunan bermusim pada suku keempat,” tambah beliau.

Pada 18 Ogos, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip memberitahu Bernama bahawa kebarangkalian El Niño mencapai kategori ‘sangat kuat’ atau ‘El Niño Super’ antara Oktober dan Disember meningkat kepada lebih daripada 90 peratus.

-- BERNAMA