Pertanian, Logistik Bakal Terima Impak Segera Dari Ekonomi Altitud Rendah -- CAAM
KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Pertanian dan logistik dijangka menerima impak segera daripada Pembangunan Ekonomi Altitud Rendah (LAE) Malaysia, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
LAE merujuk kepada aktiviti ekonomi yang dijalankan di ruang udara paras rendah yang menggunakan dron, pesawat tanpa pemandu dan teksi udara untuk tujuan seperti pertanian, penghantaran, pemeriksaan infrastruktur, pengawasan, pemetaan, tindak balas bencana serta pengangkutan penumpang.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata dron sudah pun digunakan di ladang di utara Malaysia untuk pelbagai aktiviti pertanian.
“Ia boleh digunakan untuk pembajaan tepat, pemantauan tanaman termasuk aktiviti lain. Ini boleh dijalankan dengan lebih cekap, menjadikan pertanian sebagai salah satu tumpuan utama,” katanya pada program The Nation Bernama TV bertajuk “Memahami Rangka Kerja Ekonomi Altitud Rendah” hari ini.
Logistik juga menawarkan potensi yang besar, terutamanya untuk mengangkut bekalan penting ke luar bandar serta komuniti yang sukar dijangkau di Sabah dan Sarawak.
“Memandangkan keadaan geografi kita, ianya membentangkan bidang yang berdaya maju untuk kita terokai,” katanya.
Norazman juga mengenal pasti pengawasan dan pemetaan sebagai satu lagi kawasan yang mana dron boleh menggantikan helikopter.
“Di Semenanjung Malaysia sahaja, ada rangkaian saluran paip sepanjang 1,900 kilometer. Bolehkah anda bayangkan untuk menggunakan helikopter bagi memeriksa saluran paip ini?
“Kita sudah menggunakan dron untuk tujuan ini, bukan merentasi semua 1,900 kilometer tetapi di sepanjang bahagian tertentu di kawasan luar bandar,” katanya.
Norazman menjelaskan bahawa dron bukan sahaja mampu menjalankan pengawasan tetapi juga mengumpul data untuk analisis, membolehkan pengendali menjadi lebih proaktif daripada reaktif.
“Dengan semua data, anda boleh menjadi lebih proaktif dalam menentukan sama ada anda memerlukan pengawasan tetap dan bagaimana selang boleh dijarakkan. Ini mewujudkan kecekapan,” katanya.
Sementara itu, Norazman berkata walaupun dron dan teksi udara adalah elemen yang paling ketara dalam LAE, tonggak utamanya adalah adalah dalam bentuk ekosistem sokongan yang besar beroperasi di belakangnya.
“Ambil juruterbang, sebagai contoh. Kita sudah mempunyai enam organisasi latihan juruterbang jarak jauh dan 7,000 juruterbang dron yang berkelayakan, tetapi itu hanya satu bahagian daripada ekosistem, di samping pengeluaran serta pembuatan pesawat.
“Perkara lain ialah apabila anda bercakap mengenai LAE ialah ia memerlukan telekomunikasi. Infrastruktur di Malaysia sudah sedia ada. Kita mempunyai lebih 20,000 menara telekomunikasi yang boleh digunakan oleh dron ini,” katanya.
Malaysia juga banyak melabur dalam pusat data kerana setiap operasi perlu dianalisis untuk memastikan operasi masa depan dijalankan dengan lebih selamat.
Tambahnya, apabila rangka kerja LAE diperkenalkan, ia tidak semestinya akan menyatukan semua peraturan yang melibatkan pelbagai agensi tetapi melengkapkannya dalam satu rangka kerja.
“Ini akan membolehkan semua pihak menggunakan ekonomi altitud rendah dengan lebih selamat supaya kita semua berada di halaman yang sama,” katanya lagi.
Rangka kerja LAE dijangka diperkenalkan menjelang akhir 2026.
-- BERNAMA