Syarikat Penerbangan Asia-Pasifik Dijangka Kekal Kukuh Meskipun Ketidaktentuan Industri - S&P
KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Syarikat penerbangan Asia Pasifik terus melabur membeli pesawat cekap bahan api disokong prospek permintaan jangka panjang, hutang yang lebih rendah susulan pandemik selain pembiayaan yang pelbagai bagi menangani ketidaktentuan industri.
S&P Global Ratings memaklumkan syarikat penerbangan rantau itu berkemungkinan kekal sebagai pasaran penerbangan yang paling pesat berkembang di dunia, dengan hampir 5,700 pesawat dalam tempahan serta komitmen modal bernilai lebih daripada US$300 bilion.
"Syarikat penerbangan telah mengurangkan tahap kadar hutangnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Justeru, ia memiliki lembaran imbangan yang lebih kukuh untuk menyerap kesan daripada kos bahan api tinggi yang disebabkan oleh konflik di Asia Barat dan susut nilai mata wang.
"Selain itu, kami menjangkakan trafik udara penumpang di Asia Pasifik terus kekal kukuh disokong oleh peningkatan kelas pertengahan umumnya dan trajektori meningkat ekonomi China dan India, khususnya," demikian menurut agensi penarafan itu dalam laporan bertajuk Asia-Pacific Airlines: High Costs Won't Divert Growth Ambitions, yang diterbitkan pada Isnin.
Laporan yang diterbitkan di Singapura itu adalah berdasarkan kepada data daripada 22 syarikat penerbangan yang secara agregat, menyumbang hampir 85 peratus daripada permodalan pasaran syarikat penerbangan di Asia Pasifik.
Selain berkembang untuk menampung pertumbuhan penumpang, syarikat penerbangan Asia Pasifik juga akan melabur bagi mengekalkan daya saing mereka dalam industri susulan kemunculan banyak syarikat penerbangan tambang rendah di rantau itu.
"Kami percaya asas syarikat penerbangan yang lebih kukuh dan potensi pertumbuhan rantau ini akan menyokong pemberian pinjaman bank kepada sektor ini. Selain itu pengembangan dan hubungan yang telah lama terjalin menyokong akses mudah kepada modal, terutamanya untuk syarikat penerbangan nasional dengan pemilikan kerajaan," maklumnya.
Menurut S&P Global Ratings, lebih banyak syarikat penerbangan boleh mendapatkan pembiayaan luar pesisir selaras dengan kadar pertumbuhan tinggi di rantau ini, terutamanya syarikat penerbangan yang mempunyai rekod prestasi operasi yang kukuh.
Cabaran ketika ini termasuk kos bahan api yang tinggi dan susut nilai mata wang berbanding dolar dijangka menjejaskan syarikat penerbangan Asia Pasifik, terutamanya syarikat penerbangan tambang rendah.
Namun begitu, firma penarafan tersebut percaya syarikat penerbangan di rantau ini akan mengutamakan pelarasan operasi sementara untuk menyerap kejutan segera dan bukannya mengambil pendekatan mengetepikan rancangan pembangunan utama mereka.
S&P Global Ratings juga yakin margin syarikat penerbangan akan pulih dengan lebih ketara mulai suku keempat dan seterusnya, disokong oleh permintaan puncak bermusim.
Agensi penarafan itu juga mengunjurkan harga minyak Brent menyusut kepada US$80 setong pada 2027, berbanding US$110 setong tahun ini.
Menurutnya, hampir 50 peratus syarikat penerbangan Asia Pasifik tidak menggunakan lindung nilai bahan api.
Kebanyakan syarikat penerbangan di rantau Asia Pasifik tidak mengubah dasar lindung nilai mereka akibat konflik Asia Barat walaupun terdapat beberapa syarikat penerbangan telah meningkatkan kedudukan lindung nilai mereka termasuk Thai Airways, All Nippon Airways (ANA), Japan Airlines (JAL) dan Cebu Pacific, maklum agensi penarafan itu.
-- BERNAMA