Ekosistem Perkapalan, Logistik Perlu Pelaburan Untuk Seiring Dengan Pertumbuhan Kargo - SAM
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Malaysia perlu menangani kekurangan pelaburan dalam ekosistem perkapalan dan logistiknya berikutan jumlah pengendalian kargo di pintu masuk utama yang meningkat manakala kapasiti dalam industri sokongan berkurangan, kata Pengerusi Persatuan Perkapalan Malaysia (SAM) Ooi Lean Hin.
Ooi, yang juga Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan MTT Shipping and Logistics Bhd berkata walaupun jumlah pengendalian kargo di pintu masuk utama mencatatkan pertumbuhan secara berterusan, kapasiti dalam industri pengangkutan lori semakin berkurangan.
Beliau berkata ramai pengusaha sedang mempertimbangkan untuk keluar daripada perniagaan tersebut.
“Jumlah pengendalian kargo di pintu masuk utama mencatatkan pertumbuhan berterusan pada tahun ini tetapi pada masa yang sama, kita berdepan dengan industri yang mempunyai kapasiti semakin berkurangan,” katanya pada sesi perbincangan panel pada persidangan LogiSYM Malaysia 2026 minggu lepas.
Ekosistem Logistik Berdepan Tekanan Kapasiti
Ooi berkata industri berdepan dengan masalah kesesakan, tempoh pusing ganti yang lemah dan kekurangan pemandu manakala isu yang telah lama berlarutan termasuklah pelaburan dan gaji pemandu yang masih belum diselesaikan.
“Mereka kekurangan pemandu. Mereka bercakap mengenai usaha untuk mengalihkan pergerakan trafik kepada waktu malam dengan insentif dan sebagainya.
“Jika keperluan pada waktu siang tidak dapat dipenuhi, mengapa perlu beralih kepada waktu malam?” katanya.
“Jika seorang pemandu boleh mendapat RM4,000 atau RM5,000 sebulan dengan memandu kereta, mengapa dia perlu beralih untuk memandu lori? Itulah isunya.
“Jika perkara ini tidak ditangani, ia umpama bom jangka,” katanya.
Ooi menegaskan bahawa pembinaan kapasiti dalam seluruh ekosistem amat penting untuk menyokong pertumbuhan pada masa depan.
“Pada pendapat saya, membina kapasiti merupakan aspek yang amat penting dan perlu diberi perhatian serta kerajaan perlu melihat sebab kita tidak melabur dalam pertumbuhan masa depan,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa meningkatkan kapasiti pelabuhan sahaja tidak mencukupi jika masih terdapat kekangan dalam rantaian bekalan.
“Kapasiti perkapalan sahaja tidak menjamin dapat menampung semua aktiviti perdagangan berikutan terdapat banyak kekangan dalam rantaian bekalan,” katanya.
Daya Saing Pelabuhan Bukan Sekadar Kapasiti
Sependapat dengan Ooi, pakar industri maritim Nazery Khalid berkata mempunyai kapasiti tambahan sahaja tidak menjamin daya saing pelabuhan.
Beliau berkata kaedah pelabuhan dinilai tidak lagi terhad kepada ukuran konvensional seperti jumlah kargo yang dikendalikan dan bilangan persinggahan kapal.
“Era mengukur daya saing pelabuhan hanya berdasarkan jumlah kargo yang dikendalikan dan bilangan persinggahan kapal telah berakhir,” katanya kepada Bernama.
Nazery berkata pelabuhan beroperasi dalam persekitaran yang mempunyai ciri-ciri kelemahan, ketidaktentuan, kerumitan dan ketidakjelasan wujud daripada perubahan geopolitik dan peraturan, pendigitalan yang berkembang serta tumpuan terhadap aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Prestasi pelabuhan dinilai melangkaui ukuran konvensional dan tradisional seperti infrastruktur, kelebihan fizikal dan kapasiti untuk mengendalikan jumlah kargo yang meningkat dan bilangan persinggahan kapal,” katanya.
Nazery, yang menjadi moderator untuk Panel CEO: Pelabuhan & Perkapalan di LogiSYM Malaysia 2026 berkata daya saing pelabuhan bukan lagi hanya mengenai kapasiti.
“Model perniagaan ‘bina dan mereka akan datang’ sudah tidak lagi relevan dan pelabuhan bukan hanya dinilai berdasarkan tumpuan kargo, kren, kos dan kesalinghubungan,” katanya.
Nazery berkata langkah-langkah yang digunakan untuk mengukur daya saing pelabuhan kini termasuk keberkesanannya dalam memberi perkhidmatan kepada kawasan pedalaman dan rangkaian pemain logistik yang menyediakan perkhidmatan kepadanya.
Ia termasuk aktiviti menambah nilai seperti zon bebas, pematuhan kepada prinsip ESG, kecekapan tenaga, kemampanan, daya tahan terhadap perubahan iklim dan perkhidmatan.
Langkah-langkah lain ialah meningkatkan penggunaan teknologi siber, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan membuat keputusan berasaskan data.
“Ini membentuk medan persaingan baharu yang kini menjadi ruang persaingan bagi pelabuhan.
“Mereka menyusun semula landskap operasi pelabuhan dan mencabar definisi daya saing pelabuhan,” katanya.
Beliau berkata pelabuhan yang berdaya saing ialah pelabuhan yang dapat bersepadu dengan baik dalam seluruh ekosistem rantaian bekalan termasuk pada peringkat global.
Melabur Mendahului Permintaan
Ketua Pegawai Eksekutif Westports Malaysia Sdn Bhd Vijaya Kumar Puspowanam berkata pengendali pelabuhan perlu mempunyai gambaran yang jelas mengenai permintaan pada masa depan.
Lebih penting lagi, katanya mereka perlu bersedia untuk mengambil risiko bahawa permintaan mungkin tidak wujud apabila kemudahan itu siap.
“Anda perlu mempunyai gambaran yang jelas mengenai kemungkinan yang akan berlaku pada masa depan.
“Lebih penting lagi, anda perlu bersedia untuk mengambil risiko bahawa permintaan itu mungkin tidak wujud apabila kemudahan anda siap dibina. Di Westports, kami telah mengambil risiko sejak hari pertama lagi,” katanya pada sesi perbincangan panel.
Vijaya berkata Westports kekal yakin dalam menambah kapasiti berikutan ia percaya perdagangan akan terus berkembang walaupun terdapat cabaran global.
Beliau berkata kapasiti baharu di Westports dijangka mula beroperasi mulai akhir 2028.
Kapasiti semasanya sebanyak 14 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) berpotensi meningkat kepada 28 juta TEU.
“Jika terdapat permintaan berterusan dan jika kita terus mencapai kadar penggunaan 80 peratus, kita yakin untuk terus membina kapasiti sekurang-kurangnya bagi tempoh 15 tahun akan datang,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa kapasiti di komponen lain dalam ekosistem masih ketinggalan, mengukuhkan keperluan untuk pembinaan kapasiti selain pelabuhan.
“Kami percaya pada pembinaan kapasiti. Kita perlu mendahului keperluan masa depan,” katanya.
-- BERNAMA