Proton Jangka Ekosistem E&E Pacu Pertumbuhan Industri Automotif
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Malaysia perlu terus memanfaatkan ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh bagi memperkasa industri automotif negara, susulan peningkatan penggunaan komponen elektrik dan elektronik dalam kenderaan, kata Proton Holdings Bhd.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Abdul Rashid Musa berkata sokongan berterusan kerajaan menerusi dasar yang menyokong industri penting bagi memastikan sektor automotif terus berkembang, selain memperkukuh sinergi antara sektor E&E dan automotif.
Malaysia, perlu terus kekal menerajui kedua-dua bidang itu, disokong dasar kerajaan yang mampu merangsang pertumbuhan berterusan industri automotif domestik, katanya kepada Bernama dalam satu temu bual sempena Global Automotive and Technology Expo 2026 (GATE Expo 2026), di sini hari ini.
Mengulas mengenai hasrat Proton bagi Belanjawan 2027, beliau berkata Malaysia kini berada pada kedudukan kukuh dalam landskap automotif ASEAN, malah mendahului rantau ini dalam dua aspek, iaitu jumlah keseluruhan industri (TIV) domestik dan keselamatan kenderaan.
“Bagi 2025, kita mencatatkan jumlah TIV domestik tertinggi di ASEAN sebanyak 820,000 unit, walaupun jumlah penduduk Malaysia hanya berada di tangga kelima,” katanya.
Abdul Rashid berkata Malaysia turut menerajui aspek keselamatan automotif, dengan penilaian keselamatan ASEAN New Car Assessment Programme (ASEAN NCAP) dilaksanakan di negara ini.
Industri automotif menyediakan pekerjaan kepada kira-kira 700,000 tenaga kerja, manakala kerajaan turut memberi penekanan kepada pengukuhan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), di samping menggalakkan pembangunan lebih banyak komponen bagi memanfaatkan kekuatan sektor E&E negara.
Kerajaan sedang mempergiat usaha memperkukuh TVET dan menggalakkan pembangunan lebih banyak komponen dengan memanfaatkan kekuatan industri E&E negara, sekali gus membolehkan teknologi daripada sektor E&E diterapkan dalam industri automotif, kata beliau.
Abdul Rashid turut berharap Malaysia terus mencapai kemakmuran, dengan industri automotif memainkan peranan lebih besar dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
-- BERNAMA