BERITA TERKINI   Jerebu: JAKIM laksana solat hajat, bacaan doa di tiga masjid utama malam ini | Pendakwah selebriti mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban pecah amanah dana NGO RM13.85 juta, AMLA lebih RM1.5 juta | Anak syarikat IJM Corp peroleh projek semikonduktor dan teknologi perubatan bernilai RM909.5 juta | 

Proton Sasar Jualan 200,000 Unit Pada 2026, Segmen xEV Cecah 17 Peratus

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

 

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Proton Holdings Bhd menjangka jumlah jualan kenderaannya mencecah 200,000 unit pada 2026, akan menjadi prestasi jualan tahunan tertingginya dalam tempoh 15 tahun didorong oleh prestasi yang kukuh pada separuh pertama tahun ini.

Ad Banner

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Abdul Rashid Musa berkata pengeluar kereta nasional itu telah menjual kira-kira 100,000 kenderaan pada separuh pertama 2026 dan menjangka momentum yang kukuh berterusan untuk baki tahun ini.

“Ya, kami mencatatkan prestasi yang agak kukuh pada separuh pertama tahun ini dan saya percaya dengan sokongan padu daripada rakyat Malaysia, Proton akan terus mencatatkan prestasi jualan yang baik pada 2026,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di Ekspo Automotif dan Teknologi Global 2026 (GATE Expo 2026) di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata segmen xEV kini menyumbang kira-kira 17 peratus daripada jumlah jualan Proton, dengan lebih banyak model xEV dijangka diperkenalkan pada masa depan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Istilah xEV ialah rujukan perindustrian am untuk mana-mana jenis kenderaan elektrik, termasuk hibrid, hibrid plug-in dan kereta elektrik sepenuhnya.

Beliau berkata sumbangan sebanyak 17 peratus itu meletakkan Proton pada kedudukan yang baik untuk menyokong aspirasi kerajaan berkaitan kenderaan elektrik, termasuk mencapai sasaran 20 peratus menjelang 2030.

“Oleh itu, saya percaya Proton berada di hadapan. Kami akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran tersebut menjelang 2030,” katanya.

Mengenai pembangunan teknologi, Abdul Rashid berkata Proton menyasarkan untuk menjadikan teknologi automotif terkini sebagai mudah diakses dan mampu milik untuk pasaran yang lebih luas, termasuk teknologi yang telah ada terutamanya dalam kenderaan premium.

Katanya ini juga selaras dengan dasar kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan keselamatan kenderaan berdasarkan teknologi automotif yang terus berkembang.

“Bagi Proton, sebagai kereta untuk rakyat, ciri-ciri ini boleh didapati dalam semua model Proton,” katanya.

Abdul Rashid berkata GATE Expo 2026 merupakan platform penting bagi Proton untuk mempamerkan teknologi yang biasanya tidak dapat dilihat oleh pengguna dari luar sesebuah kenderaan.

“Di ekspo ini, Proton mempamerkan empat teknologi automotif utama, iaitu rangkaian kuasa kenderaan elektrik hibrid (HEV), seni bina elektrik dan elektronik, sistem IHU dan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS).

“Pengunjung ke reruai Proton berpeluang melihat dengan lebih dekat teknologi tersebut, termasuk cara ia berfungsi, beroperasi dan diintegrasikan dalam kenderaan Proton,” katanya.

Beliau berkata teknologi tersebut termasuk rangkaian kuasa, yang bertujuan mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kecekapan serta ADAS untuk meningkatkan keselamatan kenderaan, selain seni bina elektrik dan elektronik serta sistem IHU.

Mengenai penyetempatan dan kerjasama industri, Abdul Rashid berkata Proton, sebagai pengeluar peralatan asli, mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan ekosistem automotif tempatan berikutan komponen untuk kenderaan moden adalah jauh berbeza daripada yang dihasilkan 40 tahun lepas.

Beliau berkata kenderaan hari ini menggabungkan lebih banyak komponen elektrik dan elektronik  menggantikan komponen mekanikal. 

Katanya ini memerlukan perubahan bukan sahaja dalam teknologi kenderaan, malah dalam teknologi pembuatan yang digunakan untuk menghasilkan komponen ini.

“Cara kita menghasilkan alat ganti dan komponen hari ini adalah berbeza. Teknologi yang digunakan, bukan sahaja dalam kenderaan, malah teknologi pembuatan untuk menghasilkan komponen tersebut, yang turut berbeza,” katanya.

Abdul Rashid berkata transformasi ini memerlukan seluruh ekosistem dinaik taraf bagi menyokong pertumbuhan Proton.

Katanya pengeluar kereta nasional itu akan bekerjasama dalam ekosistem ini untuk memperkukuh kapasiti dan keupayaan tempatan serta meningkatkan tahap penyetempatan di Malaysia.

Melihat ke hadapan, katanya Proton akan terus meningkatkan teknologinya selaras dengan perkembangan industri selain memanfaatkan peralihan teknologi untuk memperkukuh syarikat dan industri automotif tempatan.

“Ini merupakan peluang daripada perubahan teknologi hari ini dan Proton membawa teknologi ini kepada masyarakat. Ini merupakan peluang untuk Proton meningkatkan keupayaannya sebagai sebuah syarikat dan industri automotif tempatan,” katanya.

Beliau berkata Proton turut menyasarkan untuk menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab kepada teknologi industri automotif terkini.

– BERNAMA