BERITA TERKINI   Majlis Amanat Perdana Menteri akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 9.30 malam, 30 Ogos ini - Jawatankuasa Induk Sambutan HKHM | Bekas menteri M.Saravanan mengesahkan beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen KL esok | Keuntungan bersih IHH Healthcare meningkat kepada RM573 juta pada suku kedua Tahun Kewangan 2026 daripada RM443 juta pada tempoh yang sama tahun lepas | Kerajaan akan terus buka ruang, bina ekosistem dan perluas akses kepada usahawan Bumiputera - Ahmad Zahid | Usahawan Bumiputera perlu bina pemilikan, memperbesar skala dan mencipta penguasaan - TPM Zahid | 

Untung Bersih MISC Melonjak Kepada RM1.15 Bilion Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih MISC Bhd meningkat lebih dua kali ganda kepada RM1.15 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2026 daripada RM464.40 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Perolehan juga melonjak 76.1 peratus kepada RM4.79 bilion daripada RM2.72 bilion sebelumnya.

Menurut syarikat maritim antarabangsa itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, perolehan daripada perniagaan perkapalan petroleum dan produk meningkat 74.1 peratus kepada RM2.24 bilion pada suku kedua  2026 daripada RM1.29 bilion pada suku kedua 2025, didorong kadar tambang yang lebih tinggi serta peningkatan hari operasi yang menjana pendapatan.

Ad Banner

Bagaimanapun, perolehan yang meningkat itu sebahagiannya terjejas akibat kesan pertukaran mata wang asing susulan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS sepanjang suku itu.

Perolehan daripada perniagaan luar pesisir pula melonjak RM592 juta kepada RM1.04 bilion pada suku kedua 2026 daripada RM454.3 juta pada suku kedua 2025, terutamanya disebabkan peningkatan perolehan yang diiktiraf pada suku itu berikutan kemajuan kerja-kerja pembinaan yang lebih tinggi bagi Unit Penyimpanan dan Pemunggahan Terapung (FSO) dan Unit Pengeluaran Terapung (FPU).

Sementara itu, perolehan daripada segmen marin dan kejuruteraan berat meningkat lebih dua kali ganda kepada RM984.8 juta pada suku kedua 2026 daripada RM431.6 juta pada suku kedua 2025.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurutnya peningkatan itu didorong terutamanya daripada sumbangan perolehan yang tinggi daripada segmen kejuruteraan berat berikutan projek yang sedang dilaksanakan memasuki fasa pembinaan yang lebih maju selain pemuktamadan projek selepas pelayaran keluar.

Bagaimanapun, perolehan perniagaan aset dan penyelesaian gas susut 20.4 peratus kepada RM417.2 juta pada suku kedua 2026 daripada RM524.4 juta sebelumnya.

Menurutnya penurunan itu berikutan syarikat tidak menjana perolehan daripada kerja-kerja pembinaan yang diiktiraf pada suku itu serta pengurangan bilangan hari operasi yang menjana pendapatan susulan penjualan kapal, kapal dalam keadaan tidak beroperasi dan kadar sewaan menurun.

Menurut MISC kerugian operasi dalam segmen lain adalah RM39.6 juta lebih tinggi daripada suku kedua 2025, terutamanya berikutan peningkatan perbelanjaan korporat.

Menurutnya pada separuh pertama 2026, keuntungan bersih meningkat kepada RM1.89 bilion daripada RM1.17 bilion pada separuh pertama 2025 manakala perolehan menokok kepada RM7.68 bilion daripada RM5.53 bilion sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MISC Datuk Zahid Osman dalam kenyataan berkata pencapaian itu disokong oleh tumpuan berterusan kumpulan terhadap kecemerlangan operasi serta pelaksanaan aktiviti secara selamat dan dipercayai.

“Walaupun kadar tambang kapal tangki kekal kukuh, pasaran dipengaruhi oleh perubahan dinamik penawaran dan permintaan serta perkembangan geopolitik.

“Oleh itu, kami kekal berhati-hati dalam membuat jangkaan bagi separuh kedua 2026 dengan mempertimbangkan bahawa sumbangan kukuh daripada perniagaan petroleum pada suku kedua mungkin sederhana daripada paras semasa,” katanya.

Melangkah ke hadapan, MISC memaklumkan segmen luar pesisir dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh pelbagai peluang kontrak kemudahan penyimpanan dan pemindahan pengeluaran terapung (FPSO) yang sedang dalam perancangan di seluruh Asia, Amerika Selatan dan Afrika.

Menurutnya persekitaran operasi bagi segmen marin dan kejuruteraan berat dijangka kekal dinamik berikutan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi serta perubahan dari segi keutamaan pelaburan.

-- BERNAMA