Untung Bersih Capital A Susut Kepada RM23.87 Juta Pada Suku Kedua
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Capital A Bhd menyusut kepada RM23.87 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2026 daripada RM1.45 bilion pada suku kedua 2025.
Menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, penyusutan keuntungan bersih itu terutama berikutan penghentian operasi penerbangan susulan penjualan perniagaan penerbangannya di bawah cadangan pelaksanaan korporat yang diselesaikan pada 16 Jan 2026.
Bagaimanapun, perolehan bagi suku yang dikaji meningkat kepada RM809.36 juta daripada RM422.61 juta sebelumnya, didorong pertumbuhan yang stabil melibatkan segmen perniagaan utamanya termasuk pelancongan, logistik dan perkhidmatan kejuruteraan.
“Asia Digital Engineering (ADE) terus memaparkan prestasi operasi yang kukuh pada suku kedua tahun kewangan 2026 dengan jumlah perolehan meningkat 29 peratus tahun ke tahun kepada RM284 juta.
“Pertumbuhan ini terutamanya disumbangkan oleh peningkatan sembilan peratus dalam penyelenggaraan asas selain tambahan RM35 juta yang dijana daripada perkhidmatan pembaikan dan pemasangan enjin,” menurutnya.
Bagi separuh pertama 2026, keuntungan bersih kumpulan susut kepada RM46.32 juta daripada RM2.14 bilion pada separuh pertama 2025 manakala perolehan melonjak kepada RM1.58 bilion daripada RM837.13 juta sebelum ini, didorong oleh prestasi Teleport dan ADE yang lebih kukuh.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tony Fernandes berkata prestasi yang teguh bagi separuh pertama 2026 menunjukkan momentum perniagaan yang baik, diterajui oleh Teleport dan ADE yang terus menjadi pemacu utama pertumbuhan kumpulan.
“Kami menjangkakan keadaan operasi pada suku ketiga dan suku keempat memerlukan ketangkasan berterusan berikutan perubahan trend global dan pergerakan penumpang.
“Secara keseluruhan, walaupun isu geopolitik masih berterusan, kami sedang melakukan segala yang termampu untuk memastikan prestasi tahun penuh kami hampir menyamai prestasi tahun lepas.
“Sebaik sahaja ketegangan global ini reda, kami menjangka operasi kembali normal dan yakin dapat mencapai pertumbuhan kukuh seperti yang lazimnya dicapai,” kata beliau.
-- BERNAMA