Untung Bersih Suku Kedua Sunway Naik Kepada RM318.59 Juta Susulan Operasi Kukuh
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Sunway Bhd bagi suku kedua 2026 berakhir 30 Jun lepas meningkat kepada RM318.59 juta daripada RM272.95 juta pada suku sama tahun lepas, terutama berikutan prestasi operasi yang kukuh dalam kebanyakan segmen perniagaan kecuali segmen pembinaan, perdagangan dan pembuatan.
Perolehan meningkat kepada RM2.91 bilion daripada RM2.56 bilion pada suku sama tahun kewangan sebelumnya, didorong terutamanya daripada sumbangan lebih tinggi kebanyakan segmen perniagaan melainkan segmen pembinaan.
Bagi separuh pertama 2026 tahun kewangan berakhir 31 Dis 2026, keuntungan bersih syarikat melonjak kepada RM9.73 bilion daripada RM463.51 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya, disumbangkan oleh prestasi operasi yang teguh meliputi semua segmen perniagaan.
Sementara itu, perolehan bagi separuh pertama 2026 meningkat kepada RM5.46 bilion daripada RM4.93 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.
Sunway ialah konglomerat utama Malaysia yang menjalankan operasi melibatkan 13 bahagian perniagaan utama, dengan sebahagian besarnya tertumpu kepada pembangunan hartanah, pembinaan, pendidikan, penjagaan kesihatan, peruncitan, hospitaliti serta sektor riadah.
Kumpulan ini menggunakan model perniagaan bersepadu “bina-miliki-operasi.”
Melangkah ke hadapan, Sunway memaklumkan bahawa segmen pembangunan hartanah akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelancaran projek secara berdisiplin serta penambahan semula simpanan tanah secara strategik di koridor pertumbuhan ekonomi utama di Malaysia dan Singapura.
Portfolio perniagaan kumpulan yang pelbagai dan bersepadu kekal berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi Malaysia yang berterusan, disokong permintaan pengguna yang kukuh, aktiviti pelaburan yang baik serta faktor pertumbuhan struktur yang memberangsangkan.
Lembaga pengarah kekal berwaspada namun optimis terhadap prospek kumpulan bagi tahun kewangan 2026 berdasarkan model perniagaannya yang pelbagai, jualan belum dimasuk kira yang kukuh, pengembangan berterusan bagi kapasiti katil hospital, nilai perolehan kontrak belum selesai pada paras tertinggi serta perniagaan berpendapatan berulang yang berdaya tahan.
Sunway turut mengisytiharkan dividen satu peringkat sebanyak tiga sen sesaham yang akan dibayar pada 15 Okt 2026.
-- BERNAMA