BERITA TERKINI   Projek Residensi Siswa Universiti Malaya mesti bebas ketirisan, tonjol nilai MADANI - PM Anwar | PM Anwar akan pantau sendiri Projek Residensi Siswa Universiti Malaya, mahu ia disiapkan lebih awal dari jadual | Persiapan MAHA 2028 dimulakan seawal Januari tahun depan, termasuk meneliti cadangan penambahbaikan -- Mohamad Sabu | Semua institusi pendidikan KPM di Negeri Sembilan beroperasi seperti biasa esok - JPNS | Fasa pertama JENDELA 2 di Sarawak libatkan 350 lokasi dengan peruntukan RM545 juta - Fahmi Fadzil | 

Pulau Pinang, Johor, Selangor Sumbang 79.4 Peratus Daripada Jumlah Dagangan Malaysia Pada Julai - DOSM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Pulau Pinang, Johor dan Selangor menyumbang 79.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Julai 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam Statistik Eksport dan Import Mengikut Negeri Julai 2026 yang dikeluarkan hari ini, DOSM menyatakan jumlah perdagangan Malaysia pada Julai 2026 berjumlah RM364.7 bilion dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM193.6 bilion dan RM171.1 bilion

Pulau Pinang kekal sebagai negeri pengeksport utama, menyumbang 48.4 peratus daripada jumlah eksport Malaysia diikuti Johor (19.1 peratus), Selangor (14.7 peratus), Sarawak (5.2 peratus) dan Kuala Lumpur (2.9 peratus).

Ad Banner

"Pulau Pinang juga mencatatkan sebahagian besar import Malaysia iaitu 30.0 peratus diikuti oleh Selangor (23.4 peratus), Johor (22.9 peratus), Kuala Lumpur (9.6 peratus) dan Kedah (3.9 peratus)," jelasnya.

Menurut DOSM, eksport Malaysia pada Julai 2026 naik RM53.5 bilion (+38.2 peratus) berbanding Julai 2025.

Peningkatan ini terutamanya disumbangkan oleh eksport lebih tinggi di Pulau Pinang (+RM40.4 bilion), Johor (+RM10.1 bilion) dan Selangor (+RM3.7 bilion).

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Diikuti oleh Sarawak (+RM1.6 bilion), Perak (+RM511.9 juta), Kedah (+RM511.0 juta), Kuala Lumpur (+RM507.0 juta), Kelantan (+RM153.7 juta) dan Negeri Sembilan (+RM35.0 juta), jelasnya.

 Namun begitu, DOSM memberitahu, eksport menurun di Perlis (-RM31.1 juta), Melaka (-RM156.9 juta), Terengganu (-RM208.8 juta), Labuan (-RM405.1 juta), Pahang (-RM1.0 bilion) dan Sabah (-RM1.9 bilion). 

Sementara itu, import Malaysia pada Julai 2026 berkembang RM45.7 bilion (+36.4 peratus) berbanding Julai 2025. 

"Peningkatan ini terutamanya disumbangkan oleh import lebih tinggi di  Pulau Pinang (+RM21.8 bilion), Selangor (+RM7.8 bilion), Kuala Lumpur (+RM7.3 bilion) dan Johor (+RM7.3 bilion) diikuti Kedah (+RM1.5 bilion), Sarawak (+RM810.2 juta), Pahang (+RM789.5 juta), Negeri Sembilan (+RM594.3 juta), Sabah (+RM268.5 juta), Perak (+RM180.3 juta) dan Labuan (+RM145.6 juta)," jelasnya.

Namun begitu, import menurun di Terengganu (-RM4.0 juta), Kelantan (-RM24.7 juta), Perlis (-RM43.9 juta) dan Melaka (-RM1.3 bilion), menurut jabatan itu. 

-- BERNAMA