ZICO Trust Lantik Bekas Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Lazim Sebagai Pengerusi
KUALA LUMPUR, 28 Ogos(Bernama) -- ZICO Trust (M) Bhd melantik bekas Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Mazlan Lazim sebagai pengerusi berkuat kuasa 14 Ogos 2026.
Menurut ZICO Trust, pelantikan itu sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk memperkukuh kepimpinan lembaga pengarah dan menyelia institusi bagi menyokong pembangunan jangka panjang sebagai penyedia perkhidmatan amanah dan fidusiari yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan.
Pengarah Urusannya Jeevan M. Sundaram berkata pengalaman Mazlan dalam memimpin dan menyelia institusi yang kompleks, yang memerlukan kebertanggungjawaban, pertimbangan yang wajar serta pengurusan yang bertanggungjawab akan memberikan perspektif bernilai kepada ZICO Trust.
"Pengalaman luas beliau yang merangkumi perkhidmatan awam dan lembaga pengarah korporat akan membawa perspektif penting kepada ZICO Trust ketika kami terus memperkukuh tadbir urus dan membina institusi ini untuk jangka panjang," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Mazlan yang memiliki Ijazah Sarjana Pembangunan Sumber Manusia daripada Universiti Putra Malaysia berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama lebih 40 tahun sebelum dilantik sebagai Timbalan KPN pada Jun 2021.
Selepas bersara daripada PDRM, Mazlan meneruskan peranan kepimpinannya dalam sektor korporat termasuk sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Computer Forms (Malaysia) Bhd, Pengerusi PBLT Sdn Bhd dan Timbalan Pengerusi Rapid Synergy Bhd.
-- BERNAMA