BERITA TERKINI   ACL2: Kuching City FC 1-1 Kitchee SC | Jerebu: Pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan minggu hadapan ditangguhkan -- KPM | Jerebu: Pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan minggu hadapan ditangguhkan -- KKM | 

Malaysia Giat Usaha Capai Sasaran Perdagangan US$30 Bilion Dengan Thailand - Amir Hamzah

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 15 Okt (Bernama) -- Malaysia sedang mempergiat usaha untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak US$30 bilion dengan Thailand menjelang 2027, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata usaha itu akan dilaksanakan melalui penambahbaikan infrastruktur sempadan, pembiayaan rentas sempadan, serta langkah-langkah pemudahcaraan perdagangan di bawah Belanjawan 2027.

Ad Banner

Amir Hamzah berkata perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah RM85.08 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026, berbanding RM66.95 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala perdagangan di sepanjang koridor Bukit Kayu Hitam-Sadao berjumlah RM27 bilion pada separuh pertama tahun ini.

"Belanjawan 2027 merangkumi langkah-langkah untuk memperkukuh Zon Ekonomi Sempadan Khas Delapan, termasuk kerangka pembiayaan rentas sempadan bersama Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) bagi memudahkan transaksi pelbagai mata wang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Dialog Dasar antara Kementerian Kewangan (MoF), Institut Penyelidikan Pembangunan Thailand dan Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) di sini, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Langkah-langkah lain, katanya, termasuk penyediaan akses terus yang menghubungkan Pintu Timur Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan depot kontena pedalaman bagi mempercepat pergerakan kargo, serta penambahbaikan kemudahan perdagangan di Pelabuhan Darat Perlis.

Dialog tersebut, yang diadakan bersempena dengan Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa-Kumpulan Bank Dunia 2026, dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Bangkok serta MTCC.

Sementara itu, Amir Hamzah turut mengetengahkan tentang status Entiti Perniagaan ASEAN Malaysia (MA-ABE) yang bertujuan membantu syarikat Malaysia berkembang di seluruh rantau ini dengan memudahkan mobiliti kakitangan serta mengurangkan halangan pentadbiran.

Beliau berkata pengukuhan integrasi ekonomi ASEAN penting di tengah-tengah ketegangan geopolitik, corak perdagangan yang berubah, gangguan teknologi, serta iklim yang tidak menentu.

“ASEAN menyumbang 25.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada 2025, dengan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand mencecah RM118 bilion. Eksport Malaysia ke Thailand meningkat 8.6 peratus kepada RM64.07 bilion, manakala import dari Thailand berjumlah RM54.50 bilion.

"Kedua-dua negara mempunyai hubungan kukuh melalui rangkaian pengeluaran serantau yang merangkumi sektor elektronik, automotif, jentera, pertanian, makanan, tenaga, perkhidmatan serta ekonomi digital," katanya.

Amir Hamzah berkata perdagangan Malaysia dengan ASEAN berkembang sebanyak 21.5 peratus kepada RM454.5 bilion pada separuh pertama 2026.

Katanya, ASEAN telah menghapuskan tarif ke atas kira-kira 98.86 peratus produk di bawah Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) setakat 2025, dengan halangan yang masih wujud sebahagian besarnya melibatkan perbezaan dalam piawaian, peraturan, prosedur kastam, pelesenan serta dokumentasi.

Beliau menjelaskan protokol kedua untuk meminda ATIGA, yang ditandatangani pada Oktober 2025, memperluas kerjasama kepada ketersambungan rantaian bekalan, perdagangan dan alam sekitar, serta keterjaminan makanan.

"ASEAN kini perlu menunaikan komitmennya untuk mengurangkan masa dan kos dalam perdagangan rentas sempadan," katanya.

-- BERNAMA