BERITA TERKINI   ACL2: Kuching City FC 1-1 Kitchee SC | Jerebu: Pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan minggu hadapan ditangguhkan -- KPM | Jerebu: Pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan minggu hadapan ditangguhkan -- KKM | Projek Residensi Siswa Universiti Malaya mesti bebas ketirisan, tonjol nilai MADANI - PM Anwar | PM Anwar akan pantau sendiri Projek Residensi Siswa Universiti Malaya, mahu ia disiapkan lebih awal dari jadual | 

IMF Ramal Pertumbuhan KDNK Malaysia 5.2 Peratus Pada 2026, 4.7 Peratus Pada 2027

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang 5.2 peratus pada 2026 sebelum menyederhana kepada 4.7 peratus pada 2027, di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi serantau, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dalam Laporan Tinjauan Ekonomi Serantau bagi Asia dan Pasifik edisi Oktober 2026, bertemakan “Resilient Amid Uncertainty: Can It Be Sustained?” (Berdaya Tahan dalam Ketidaktentuan: Mampukah Ia Dikekalkan?), IMF menyatakan eksport berkaitan teknologi dan pelaburan kukuh dalam pusat data menjadi antara penyumbang utama pertumbuhan di rantau ini.

“Malaysia dan Singapura meningkatkan eksport sebagai negara pemasang dan pembungkus produk teknologi, manakala pelaburan kukuh dalam pusat data di China, India, Jepun, Indonesia dan Malaysia turut menyumbang kepada pertumbuhan,” menurut laporan itu hari ini.

Ad Banner

Pelaburan dalam pusat data turut menjana permintaan lebih luas terhadap barangan perantaraan daripada pembekal serantau, termasuk Thailand dan Vietnam.

Menurut laporan itu, kapasiti operasi pusat data di Malaysia melebihi 1,000 megawatt (MW), manakala lebih 1,500 MW lagi sedang dalam pembinaan.

“Dari segi komposisi eksport perkhidmatan, perkhidmatan moden di Malaysia menyumbang kira-kira 30 peratus daripada jumlah eksport perkhidmatan pada 2023, manakala selebihnya terdiri daripada perkhidmatan tradisional.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Di seluruh ASEAN, eksport perkhidmatan yang terkandung dalam eksport barangan menyumbang 17 peratus, manakala eksport perkhidmatan yang disampaikan melalui kehadiran komersial menyumbang 30 peratus,” menurut laporan itu.

Bagaimanapun, IMF mendapati kebanyakan eksport perkhidmatan di rantau ini masih tertumpu pada pasaran global berbanding pasaran serantau, khususnya perkhidmatan moden, yang secara purata hanya 14 peratus dieksport ke negara-negara dalam rantau Asia Pasifik.

Mengenai inflasi, laporan itu menyatakan kesan kenaikan harga tenaga terhadap inflasi keseluruhan dan inflasi teras masih terkawal secara relatif di kebanyakan ekonomi maju serta pasaran sedang pesat membangun.

“Hal ini sebahagiannya disebabkan kebergantungan pada inventori serta penggunaan meluas langkah penstabilan harga, termasuk di Malaysia, Korea dan Thailand,” menurut laporan itu.

Mengehadkan kesan kenaikan harga tenaga terhadap harga domestik menjadi matlamat utama dasar, dengan lebih 80 peratus ekonomi melaksanakan langkah untuk membendung impak tersebut, menggunakan purata dua hingga empat instrumen.

Langkah berkenaan termasuk pembekuan harga bahan api atau utiliti serta subsidi di Malaysia, selain pengurangan cukai dan duti bahan api di Kemboja dan Laos, serta penetapan had harga bahan api yang disokong subsidi di Jepun dan Thailand.

Bantuan bersasar turut melengkapi langkah lebih menyeluruh bagi menyalurkan sokongan kepada sektor dan isi rumah yang terjejas. Antara langkah itu ialah jaminan kredit atau kemudahan mudah tunai di Malaysia, India dan Singapura.

Langkah pengurusan permintaan, seperti pengaturan bekerja dari rumah, pemendekan waktu bekerja sektor awam dan sekatan perjalanan, turut dilaksanakan di Malaysia serta beberapa ekonomi lain di rantau ini.

Mengenai permintaan domestik, IMF menyatakan penggunaan per kapita Malaysia berkembang lebih pantas berbanding pendapatan, dengan jurang pertumbuhan lebih besar daripada purata ekonomi sedang pesat membangun dan ekonomi membangun. Keadaan itu turut didorong peningkatan ketara pinjaman isi rumah daripada bank.

Bagi ekonomi yang mencatat pertumbuhan penggunaan yang agak kukuh, termasuk Malaysia dan Thailand, IMF berkata dasar perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan daya tahan penggunaan, khususnya dalam kalangan isi rumah yang terdedah kepada risiko dan mempunyai tahap keberhutangan tinggi.

-- BERNAMA