WAWASANITA Sasar Perdagangan Dua Hala Bernilai RM15 Juta Dengan 15 Negara
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (WAWASANITA) menyasarkan perdagangan dua hala bernilai RM15 juta dengan 15 buah negara dalam tempoh enam bulan sebagai langkah menterjemahkan hubungan diplomatik kepada peluang perniagaan rentas sempadan bagi ahli-ahlinya.
Presidennya Datin Dr Norli @ Norlaili Alias berkata persatuan itu menyasar menjana perdagangan dua hala bernilai RM1 juta dengan setiap 15 negara yang diwakili pada acara Ambassador Roundtable 2026: The Sovereign Trade Dialogue.
Dialog tersebut yang dicetuskan oleh WAWASANITA merupakan platform diplomatik peringkat tinggi yang menghubungkan para duta, wakil kerajaan, pemimpin industri, serta usahawan wanita bagi memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan antarabangsa.
Selain memperkenalkan WAWASANITA serta perniagaannya, dialog itu juga menjadi papan loncatan bagi persatuan itu untuk menjalankan aktiviti perdagangan seterusnya, katanya.
Dalam kalangan 15 perwakilan tersebut termasuk duta dan wakil dari Maldives, Jordan, Tajikistan, Romania, Sudan dan Afrika Selatan, katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di luar majlis “WAWASANITA 30 Tahun – Legasi Merentas Sempadan” yang berlangsung, di sini, hari ini, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 persatuan itu.
Norli berkata keutamaan awal adalah untuk membiasakan ahli dengan peraturan dan dasar negara yang terlibat, disokong oleh hubungan yang lebih erat dengan wakil diplomatik negara terbabit.
Beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia berjanji untuk membimbing persatuan tersebut manakala kedutaan yang terlibat telah menyatakan komitmen untuk menyokong ahlinya.
Kumpulan Rintis 20 Syarikat
Katanya, usaha awal ini melibatkan satu kumpulan rintis yang terdiri daripada 20 syarikat, yang secara kolektif menawarkan 1,000 unit simpanan stok (SKU) dan dipilih daripada 200 syarikat yang berdaftar untuk WAWASANITA BizzPitchMatch 2026.
Syarikat tersebut menjalani persediaan selama empat bulan dengan melakukan persiapan merangkumi minda keusahawanan, produk, pembungkusan, pensijilan, dan dokumentasi.
WAWASANITA BizzPitchMatch 2026 menyediakan platform bagi usahawan untuk mengetengahkan idea perniagaan, produk, dan pelan pertumbuhan mereka kepada rakan kewangan serta pakar industri, di samping menggariskan keperluan pembiayaan dan potensi pasaran mereka.
Program ini turut menawarkan maklum balas yang membina, peluang untuk meneroka pembiayaan dan eksport, serta hubungan dengan bakal rakan kerjasama bagi menyokong pertumbuhan perniagaan yang mampan.
Norli berkata persediaan tersebut bertujuan untuk melengkapkan kumpulan rintis tersebut bagi merebut peluang ini.
“Kami telah menyediakan platform tersebut, serta melatih dan melengkapkan para usahawan dengan dokumentasi yang sewajarnya. Peluang tersebut merangkumi lima kluster perniagaan WAWASANITA — makanan dan minuman (F&B), fesyen dan pakaian, kraf dan cenderamata, produk dan perkhidmatan, serta spa dan kecantikan.
“Kluster makanan dan minuman (F&B) merangkumi produk sedia untuk dimakan dan sedia untuk dimasak, pes, serta makanan sejuk beku. Segmen perkhidmatan pula merangkumi golongan profesional seperti perunding latihan, ejen insurans, arkitek, doktor dan peguam,” katanya.
Program pembentangan idea itu menghimpunkan wakil daripada institusi kewangan, pelabur, badan produktiviti, dan peruncit, serta menawarkan peserta akses kepada kepakaran pembiayaan dan saluran pengedaran yang berpotensi.
Berdasarkan pengalamannya selama 30 tahun dalam sektor perbankan, Norli berkata persatuan tersebut mengambil pendekatan berhemat terhadap pengembangan perniagaan, termasuk memastikan produk dan sampel ahli dinilai sewajarnya semasa misi perdagangan.
Hab Halal ASEAN
Beliau berkata WAWASANITA turut mencari rakan kerjasama di seluruh ASEAN untuk membangunkan inisiatif Hab Halal ASEAN, dibina berasaskan Hab Halal Universal yang menempatkan barangan makanan ahli persatuan itu.
Inisiatif itu dilancarkan hari ini dan persatuan berkenaan mengalu-alukan penyertaan wakil serta persatuan dari negara ASEAN untuk meneroka peluang kerjasama di pasaran masing-masing.
“Kami sedang berusaha untuk mengembangkan model ini ke negara lain,” katanya.
Dalam pada itu, Norli berkata inisiatif Kerepek International yang turut dilancarkan hari ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Persatuan akan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan pengeluaran selain pembangunan pasaran bagi memastikan usahawan mampu memenuhi permintaan dari luar negara.
“Kejayaan eksport bergantung pada keupayaan menjalankan pengeluaran tanpa tekanan,” katanya, sambil menambah ekosistem keusahawanan perlu dilengkapkan bagi menyokong kemasukan produk ke pasaran antarabangsa.
Norli berkata WAWASANITA sentiasa membuka peluang kepada semua 15 negara yang mengambil bahagian dan tidak mengehadkan usaha kepada pasaran tertentu sahaja.
Sementara itu, Norli berkata WAWASANITA merekodkan seramai 17,000 ahli sepanjang 30 tahun penubuhannya, dengan 9,700 ahli masih aktif di 14 negeri.
“Sebahagian perniagaan kini telah diwarisi oleh adik-beradik, anak-anak dan generasi seterusnya dalam keluarga ahli.
“Bagi mengekalkan momentum itu, WAWASANITA merancang mengadakan dialog setiap suku tahun mulai tahun depan. Hasil sesi pertama akan dijadikan panduan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Terdahulu hari ini, WAWASANITA memberi penghargaan kepada 25 penerima atas pencapaian dan sumbangan mereka dalam bidang masing-masing, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, yang menerima Anugerah Ikon Kepimpinan Media WAWASANITA 2026.
Penganugerahan itu merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 persatuan berkenaan, menandakan tiga dekad usahanya menyokong kepimpinan wanita, keusahawanan dan pembangunan komuniti.
Norli berkata pengiktirafan kepada Nur-ul Afida mencerminkan peranan Bernama dalam menyampaikan berita yang jelas, tepat dan bermaklumat, selain menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan agensi berita itu.
WAWASANITA yang ditubuhkan pada 13 Feb 1996, merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa usahawan wanita dan memperkukuh penyertaan mereka dalam ekonomi negara serta global.
Selama lebih 30 tahun, persatuan itu menyokong usahawan menerusi pendidikan perniagaan, bimbingan, jaringan perniagaan, akses kepada pembiayaan, misi perdagangan dan peluang menembusi pasaran antarabangsa.
-- BERNAMA