Permintaan CRESS Kekal Kukuh Meskipun Caj Akses Sistem Disemak Semula – Penganalisis
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Permintaan terhadap tenaga boleh baharu (TBB) di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dijangka kekal berdaya tahan meskipun caj akses sistem (SAC) disemak semula.
RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menyatakan komitmen penyahkarbonan korporat serta peningkatan permintaan elektrik daripada pusat data menjadi faktor yang menyokong prospek ini.
Menurut bank pelaburan itu, caj tambahan sebanyak empat sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj) yang ditanggung oleh pengguna tenaga hijau (GC) berkemungkinan tidak memberi kesan ketara terhadap daya maju ekonomi projek bagi pemaju TBB.
Ini memandangkan tarif keseluruhan masih kira-kira 20 peratus lebih rendah berbanding kadar elektrik grid semasa.
“Oleh itu, kami menjangkakan pihak pembeli tenaga akan meneruskan perjanjian CRESS bagi mendapatkan tarif hijau jangka panjang dan mengurangkan pendedahan kepada kemungkinan kenaikan harga elektrik grid pada masa hadapan,” jelas RHB Investment Bank dalam nota penyelidikannya hari ini.
Bank pelaburan itu memberitahu pengenalan keperluan minimum 30 peratus TBB oleh kerajaan bagi pusat data selain peningkatan permintaan elektrik daripada sektor itu, akan terus menyokong penggunaan CRESS.
RHB Investment Bank mengekalkan penarafan “overweight” bagi sektor TBB dengan Tenaga Nasional Bhd, YTL Power International Bhd, Samaiden Group Bhd dan Solarvest Holdings Bhd antara saham pilihan utamanya.
Ia turut menganggap penyusutan harga saham Samaiden dan Solarvest baru-baru ini susulan semakan SAC sebagai peluang untuk membeli saham kedua-dua syarikat itu, memandangkan caj tambahan tersebut akan ditanggung oleh pengguna korporat dan bukannya pemaju.
Sementara itu, MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) memaklumkan semakan semula SAC berkemungkinan tidak menjejaskan secara ketara minat pembeli tenaga korporat terhadap CRESS, khususnya dalam kalangan pengendali pusat data dan syarikat besar yang mempunyai komitmen teguh untuk penyahkarbonan operasi mereka.
Menurutnya, struktur yang disemak semula itu mencerminkan keperluan untuk memastikan pengguna korporat yang menggunakan grid nasional bagi mendapatkan bekalan TBB menanggung bahagian kos infrastruktur berkaitan yang sewajarnya termasuk kos penghantaran, pengimbangan sistem, kapasiti rangkaian dan bekalan sandaran.
Pengiraan ilustrasi MBSB IB menunjukkan bahawa pengguna voltan ultra tinggi yang menggunakan 48 juta kWj elektrik sebulan termasuk 18 juta kWj yang diperoleh melalui CRESS, akan menanggung bil elektrik bulanan sebanyak RM28 juta di bawah pakej pecutan.
Jumlah ini berbanding RM28.4 juta di bawah aturan CRESS sebelum ini dan RM28.8 juta tanpa CRESS.
Ini bersamaan dengan penjimatan kos elektrik keseluruhan sebanyak 2.6 peratus di bawah pakej pecutan, berbanding 1.4 peratus di bawah aturan terdahulu.
“Walaupun penjimatan itu mungkin kelihatan kecil, kami percaya keutamaan Suruhanjaya Tenaga bukan sekadar menjadikan TBB lebih murah, tetapi menentukan pihak yang sepatutnya menanggung kos infrastruktur tambahan yang diperlukan untuk menampung penggunaannya,” jelasnya.
MBSB IB mengekalkan pendirian positif terhadap subsektor TBB dengan mengambil kira keperluan strategik pengguna korporat untuk mendapatkan bekalan elektrik hijau jangka panjang susulan peningkatan keperluan tenaga pusat data dan komitmen penyahkarbonan.
-- BERNAMA