Perbadanan Labuan Lantik Jeffrey Lim Sebagai CEO Invest Labuan
LABUAN, 15 Okt (Bernama) -- Perbadanan Labuan (PL) melantik usahawan Jeffrey Lim Tau Hoong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Labuan Sdn Bhd (ILSB), iaitu anak syarikat pelaburan milik sepenuhnya PL berkuat kuasa hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PL Rithuan Ismail yang juga Timbalan Pengerusi ILSB menyerahkan surat pelantikan itu kepada Lim di Menara DBKL, Kuala Lumpur.
Lim mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang teknologi, hartanah dan pelaburan.
Beliau ialah pengasas bersama syarikat teknologi kewangan Fracsio dan menubuhkan NOW Group, yang mempunyai kepentingan dalam bidang hartanah, teknologi dan pelaburan.
Lim juga merupakan Timbalan Pengerusi Persatuan Pelaburan Malaysia dan Dewan Perniagaan China-ASEAN serta diberikan pengiktirafan sebagai Pemimpin Muda Global oleh Forum Ekonomi Dunia pada 2015.
Menurut Rithuan, ILSB ditubuhkan untuk menterjemahkan kelebihan ekonomi Labuan kepada projek pelaburan yang berdaya maju dari segi komersial.
“Jeffrey mempunyai naluri sebagai seorang usahawan untuk mengenal pasti peluang urus niaga serta rangkaian hubungan yang kukuh di seluruh ASEAN dan China.
“Lembaga pengarah pula berharap ILSB dapat bertindak dengan pantas, membuat pelaburan secara terpilih dan menilai kejayaannya berdasarkan jumlah pekerjaan serta pendapatan yang diwujudkan untuk Labuan,” katanya.
Lim berkata keutamaan beliau adalah menghubungkan pelabur dengan peluang yang belum diteroka di Labuan menerusi struktur pelaburan yang berdaya maju dari segi komersial dan mematuhi peraturan.
ILSB akan memberi tumpuan kepada perkongsian strategik dan projek yang berdaya maju dari segi komersial, dengan keutamaan awal dalam ekonomi biru, pelancongan dan penggunaan komersial aset PL.
Syarikat itu juga akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) untuk membangunkan struktur perniagaan dan pembiayaan yang mematuhi peraturan bagi menarik modal antarabangsa dan pada masa sama meneroka peluang pelaburan rentas sempadan dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Pelan perniagaannya akan berpandukan kepada Rancangan Struktur Labuan 2040 yang membayangkan Labuan sebuah wilayah yang “Sejahtera, Mampan dan Pintar.”
ILSB diberi mandat untuk menarik pelaburan, membangunkan projek berdaya maju dari segi komersial dan menjalin perkongsian strategik bagi menyokong pembangunan ekonomi Wilayah Persekutuan Labuan.
-- BERNAMA