BERITA TERKINI   ACL2: Kuching City FC 1-1 Kitchee SC | Jerebu: Pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan minggu hadapan ditangguhkan -- KPM | Jerebu: Pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan minggu hadapan ditangguhkan -- KKM | 

Sejumlah 13,743 Tan Metrik Buangan Bateri Dihasilkan Dari 2021 Hingga 2025

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Sebanyak 13,743.15 tan metrik buangan bateri di bawah kod buangan terjadual SW103 dihasilkan di seluruh negara bagi tempoh 2021 hingga 2025, menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Bagaimanapun, kementerian itu menjelaskan bahawa jumlah berkenaan merangkumi semua buangan bateri yang dikategorikan di bawah kod SW103 dan bukan khusus kepada bateri kenderaan elektrik (EV) sahaja.

Menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, sehingga 4 Mac 2026, terdapat tujuh kemudahan pemerolehan kembali luar tapak bagi buangan terjadual kod SW103 yang beroperasi di Kedah, Selangor, Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Ad Banner

“Kemudahan berkenaan menyokong aktiviti pemerolehan kembali bahan bernilai daripada bateri terpakai, termasuk litium, nikel dan kobalt,” tambah NRES lagi.

Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai jumlah bateri EV yang telah dilupuskan atau dikitar semula bagi tempoh 2021 hingga 2026 serta sama ada kerajaan bercadang melaksanakan prinsip Tanggungjawab Pengeluar Diperluas (EPR).

Prinsip itu mewajibkan pengeluar dan pengimport kenderaan EV mengambil semula serta menanggung kos pelupusan bateri selepas tamat hayatnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut NRES, kerajaan telah menggariskan hala tuju pelaksanaan prinsip EPR melalui Kerangka Dasar Ekonomi Kitaran bagi Sektor Pembuatan Malaysia yang diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Kerangka itu bertujuan memperluas tanggungjawab pengeluar terhadap pengurusan produk selepas tamat hayat, termasuk pengumpulan, penggunaan semula, pengilangan semula dan kitar semula.

“Bagaimanapun, mekanisme EPR mandatori yang mewajibkan pengeluar dan pengimport kenderaan EV mengambil semula serta menanggung kos pengurusan bateri selepas tamat hayat masih belum ditetapkan,” jelas NRES.

Kementerian itu memaklumkan pelaksanaan mekanisme berkenaan memerlukan penelitian lanjut dari aspek perundangan, tanggungjawab pengeluar dan pengimport serta mekanisme pembiayaan, selain penyelarasan dasar antara NRES dengan MITI.

Pada masa ini, bateri EV yang telah menjadi buangan terjadual dikawal di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, khususnya kod SW103.

Mana-mana pihak yang menghasilkan buangan bateri, bertanggungjawab memastikan bateri berkenaan dikendalikan dan disimpan dengan betul serta dihantar ke premis yang dibenarkan mengikut keperluan perundangan.

-- BERNAMA