Rugi Bersih Berjaya Corporation Berkurangan Kepada RM340.36 Juta Bagi Tahun Kewangan 2026
KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kerugian bersih Berjaya Corporation Bhd (BCorp) berkurangan kepada RM340.36 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 daripada RM541.97 juta pada tahun kewangan 2025.
Perolehan bagi tahun berkenaan susut kepada RM8.99 bilion daripada RM9.38 bilion sebelum ini, sebahagian besarnya berikutan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen peruncit bukan makanan, perkhidmatan dan hospitaliti.
“Perolehan yang menyusut daripada perniagaan runcit bukan makanan itu terutamanya berikutan sumbangan yang lebih rendah daripada pengedar kereta H.R. Owen susulan pengurangan jumlah jualan dalam segmen kereta baharu dan terpakai.
"Segmen hospitaliti merekodkan penurunan perolehan terutama berikutan kadar purata bilik yang secara keseluruhannya lebih rendah sepanjang tahun yang dikaji," menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi suku keempat tahun kewangan 2026, kerugian bersih kumpulan menyusut kepada RM109.02 juta daripada RM207.20 juta pada suku keempat tahun kewangan 2025 manakala perolehan berkurangan kepada RM2.28 bilion daripada RM2.37 bilion sebelum ini, terutama berikutan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen perniagaan runcit bukan makanan, perkhidmatan dan hospitaliti.
Mengenai prospek, kumpulan itu berharap projek mewah Four Seasons Resort & Private Residences Okinawa di Jepun akan siap dan mula dibuka pada suku keempat tahun kewangan 2027.
Menurutnya projek itu yang mempunyai 279 penginapan eksklusif yang terdiri daripada 127 bilik resort, 124 kondominium bertaraf mewah dan 28 vila persendirian eksklusif akan mengukuhkan prestasi segmen perniagaan hotel dan resort.
"Tanpa mengambil kira sebarang keadaan luar jangka, pengarah berhati-hati namun optimis bahawa prestasi operasi perniagaan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 dalam tahap yang memuaskan," menurutnya.
-- BERNAMA