Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Kebimbangan Terhadap El-Nino
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meningkat semula dan ditutup tinggi pada Jumaat, disokong oleh jangkaan pengeluaran yang lebih lemah dalam persekitaran kebimbangan terhadap corak cuaca El Nino.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata kebimbangan terhadap El Nino yang lazimnya membawa keadaan lebih panas dan kering telah meningkatkan jangkaan bahawa pengeluaran MSM mungkin berkurangan untuk beberapa bulan akan datang.
“Harga minyak kacang soya Chicago Board of Trade (CBOT) yang lebih kukuh turut memberikan sokongan kepada sentimen pasaran.
“Kami melihat paras sokongan melebihi RM4,800 satu tan metrik dan paras rintangan pada RM4,950 setan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpusat di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM diniagakan lebih tinggi berikutan pembelian pada harga murah berikutan peningkatan semula dalam niaga hadapan minyak kacang soya CBOT dan kestabilan pada harga tenaga.
Bagaimanapun, prestasi eksport minyak sawit Malaysia yang lebih lemah dan pengeluaran lebih tinggi daripada jangkaan pada bulan Ogos telah menjejaskan pemulihan tersebut.
Pasaran turut disokong oleh berita bahawa Persatuan Pengeluar Minyak Sawit Indonesia (GAPKI) mengunjurkan bahawa fenomena El Nino ekstrem berpotensi mengurangkan pengeluaran MSM sehingga lima juta tan, katanya.
Pada penutup dagangan, kontrak semerta bulan September 2026 naik RM35 kepada RM4,628 satu tan, Oktober 2026 meningkat RM72 kepada RM4,788 setan , dan November 2026 menokok RM78 kepada RM4,894 satu tan.
Disember 2026 melonjak RM81 kepada RM4,988 setan, Januari 2027 menambah RM83 kepada RM5,067 satu tan, dan Februari 2027 naik RM86 kepada RM5,121 setan.
Jumlah dagangan merosot kepada 121,872 lot daripada 150,594 lot, manakala kepentingan terbuka susut kepada 332,943 kontrak daripada 486,220 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi September Selatan menokok RM30 kepada RM4,650 satu tan metrik.
-- BERNAMA