Pasaran Getah Dijangka Kekal Kukuh Minggu Depan Susulan Bekalan Terhad
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur diunjur kekal kukuh dengan kecenderungan meningkat minggu depan, disokong bekalan komoditi yang dijangka terhad dalam keadaan cuaca buruk.
Pakar industri Denis Low berkata angin kencang diikuti ribut petir dan hujan lebat adalah berterusan di beberapa kawasan pengeluar getah pada hari-hari tertentu.
“Keadaan itu kemudiannya disusuli cuaca panas luar biasa yang menjejaskan produktiviti, menyebabkan hasil getah lebih rendah dan kekurangan bekalan terutama bagi getah kering," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kekangan bekalan akibat cuaca itu telah menyebabkan harga getah kering meningkat sedikit, dengan pekebun memilih untuk menangguhkan penjualan lateks secara pukal manakala China ialah pembeli utama minggu lepas.
Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan lebat melibatkan 60 peratus kawasan di Bangkok dan hujan lebat setempat di beberapa kawasan di wilayah utara, tengah, timur, selatan dan barat negara itu manakala Malaysia meramalkan keadaan berjerebu sehingga Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Sementara itu, Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menjangkakan harga getah terus meningkat minggu depan berikutan cuaca El Niño berterusan yang menjejaskan bekalan.
Menurutnya pengeluar sarung tangan getah dijangka menyaksikan dagangan pasaran yang lebih perlahan minggu depan berikutan sambutan Hari Kebangsaan di Malaysia.
MARGMA memaklumkan prospek inflasi Amerika Syarikat yang bercampur-campur boleh memberikan sedikit sokongan kepada pergerakan keseluruhan perdagangan getah.
Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia SMR 20 meningkat 16.5 sen kepada 963.5 sen sekilogram manakala lateks pukal turun 8.5 sen kepada 688 sen sekilogram.
Pasaran getah akan ditutup pada Isnin, 31 Ogos sempena Hari Kebangsaan dan beroperasi semula pada Selasa.
-- BERNAMA