BERITA TERKINI   Sejumlah RM4.6 juta diperuntuk baik pulih 27 institusi pendidikan Islam di Pulau Pinang tahun ini - PM Anwar | Beberapa ikhtiar penting menyentuh kebimbangan dan kehidupan rakyat akan diumum dalam Amanat Perdana Hari Kebangsaan esok - PM Anwar | PM Anwar sampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya petang esok | 1,000 tapak pelaksanaan JENDELA Fasa Dua tahun ini dikenal pasti termasuk di Sabah, Sarawak - Teo Nie Ching | Siasatan RCI terhadap Tabung Haji perlu bagi elak negara terus rugi - PM Anwar | 

Bursa Malaysia Diunjur Bergerak Dalam Julat Kecil, Cenderung Positif Minggu Depan

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Dagangan Bursa Malaysia dijangka dalam julat kecil namun cenderung positif dalam jajaran 1,710 hingga 1,740 pada minggu depan yang juga minggu dagangan singkat, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prestasi bursa tempatan itu akan disokong oleh penilaian yang menarik, penyertaan pasaran yang sihat serta asas-asas domestik berdaya tahan.

Ad Banner

“Memandangkan penilaian menjadi lebih menarik susulan penyusutan baru-baru ini, kami percaya aktiviti memburu saham-saham terpilih akan memberi sokongan apabila dagangan disambung semula pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Bursa Malaysia dijangka menyaksikan jumlah dagangan yang kecil pada minggu depan.

Beliau berkata dagangan pasaran juga singkat pada minggu depan berikutan cuti umum Hari Kebangsaan pada Isnin dan seterusnya cuti peristiwa negeri Selangor selain serentak dengan cuti persekolahan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Aktiviti perdagangan dijangka kekal suram ketika beberapa pelabur berkemungkinan mengalihkan perhatian ke arah pasaran global susulan prestasi kukuh saham-saham teknologi Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Mohd Sedek berkata tumpuan pasaran terarah kepada ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Kevin Warsh pada Simposium Jackson Hole pada malam Jumaat.

Kenyataannya sememangnya diikuti rapat bagi mendapatkan panduan mengenai hala tuju dasar monetari Fed, terutama prospek inflasi, kadar faedah utama serta hasil Perbendaharaan AS.

“Bagaimanapun, oleh kerana Bursa Malaysia ditutup pada Isnin, sebarang reaksi segera pasaran tempatan terhadap Jackson Hole itu adalah tertangguh.

“Sehubungan itu, kami mengunjurkan impak berkenaan akan kelihatan apabila dagangan disambung semula selepas itu,” katanya.

Pada dagangan minggu ini, Bursa Malaysia ditutup pada 25 Ogos lepas bersempena cuti umum Maulidur Rasul.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, indeks FBM KLCI susut 10.60 mata kepada 1,725.88 daripada 1,736.48, seminggu sebelumnya.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas berkurangan 67.65 mata kepada 12,764.63 mata, Indeks FBM Top 100 susut 76.07 mata kepada 12,574.85 mata manakala Indeks FBM Emas Syariah turun 89.70 mata kepada 12,552.09 mata.

Indeks FBM ACE pula menguncup 84.41 mata kepada 5,249.38 mata manakala Indeks FBM Mid 70 susut 104.15 mata kepada 18,046.89 mata.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat sedikit sebanyak 1.35 mata kepada 778.38 mata, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.05 mata kepada 189.27 mata.

Bagaimanapun, Indeks Perladangan turun 130.99 mata kepada 9,309.66 mata manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 21.93 mata kepada 20,243.47 mata.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 16.70 bilion unit bernilai RM17.24 bilion berbanding 18.70 bilion unit bernilai RM15.92 bilion pada minggu sebelumnya.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan berkurangan kepada 9.70 bilion unit bernilai RM15.60 bilion daripada 9.84 bilion unit bernilai RM13.95 bilion sebelum ini.

Dalam pada itu, jumlah waran merosot kepada 4.47 bilion unit bernilai RM636.22 juta berbanding 5.60 bilion unit bernilai RM745.83 juta pada minggu lepas.

Selain itu, jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 2.52 bilion unit bernilai RM993.49 juta daripada 3.15 bilion unit bernilai RM1.60 bilion dalam minggu sebelumnya.

-- BERNAMA