BERITA TERKINI   MAHA 2026 rekod 1.8 juta pengunjung, nilai jualan hampir RM6 juta setakat semalam - Mohamad Sabu | 

Berbekalkan Modal RM120, Pendigitalan Bantu Usahawan Bangkit Semula Raih Jualan RM4 Juta

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Berbekalkan modal kira-kira RM120, seorang usahawan tempatan memilih pendigitalan untuk bangkit semula selepas perniagaan yang diceburinya terjejas teruk ketika pandemik COVID-19 melanda negara.

Hasilnya, perniagaan Buna Market iaitu sebuah platform pasaran dalam talian yang dibangunkan sendiri oleh Mirwan Badri Ahmad Badri, 41, berjaya mencatat nilai jualan RM4 juta dalam hanya tempoh dua tahun.

Mirwan Badri berkata Buna Market yang dibangunkannya pada Januari 2020, tercetus kerana beliau ingin memanfaatkan teknologi digital ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ad Banner

“Kos untuk membuat laman sesawang Buna Market ialah sekitar US$29, iaitu kira-kira RM120. 

“Pada Januari 2020, nilai jualan kami sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebelum meningkat kepada RM5,000 hingga RM6,000 pada Februari tahun yang sama.

“Pada Mac 2020, kerajaan menutup semua perniagaan susulan pandemik COVID-19. Kalau tidak silap saya, PKP bermula pada 18 Mac dan ketika itu memang sangat pening kepala.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Namun, nilai jualan kami melonjak kepada kira-kira RM40,000 pada April 2020 apabila orang ramai tidak dapat keluar rumah dan beralih kepada pembelian dalam talian,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. 

Selepas merekodkan peningkatan nilai jualan pada April 2020, beliau segera menghubungi pengedar mesin kopi dan pemanggang kopi untuk mengajak mereka menjual produk menerusi platform itu.

“Alhamdulillah, daripada hanya 20 SKU (unit simpanan stok) pada peringkat awal Buna Market, jumlah produk yang ditawarkan di laman sesawang kami mencecah tahap tertinggi sebanyak 2,000 unit.

“Dalam tempoh dua tahun sahaja, nilai jualan kami hampir mencecah RM4 juta,” katanya.

Beliau menambah bahawa kejayaan dalam perniagaan tidak semestinya memerlukan modal yang besar, sebaliknya usahawan perlu bijak memanfaatkan jaringan dan hubungan sedia ada untuk membuka peluang.

“Mesin pengedar (rangkaian), pengisar, alat-alat kopi semua saya sudah kenal sejak saya mula berniaga.

“Kami juga sentiasa mengekalkan hubungan yang baik agar wujud kepercayaan untuk kita menjual barang mereka.

“Ada juga pengedar yang membuat tawaran untuk hanya meletakkan produk mereka secara konsainan.

“Ini memudahkan kami untuk menjual produk bernilai tinggi selain menyediakan khidmat servis dan pemasangan kepada pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Buna Market ialah pasaran dalam talian bagi penggemar kopi, yang menawarkan kemudahan kepada pelanggan untuk membeli pelbagai jenis biji kopi daripada pemanggang kopi tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, ia turut memudahkan pelanggan untuk mendapatkan peralatan dan kelengkapan kopi serta produk berkaitan makanan dan minuman lain di satu lokasi dengan pembayaran dalam hanya satu transaksi. 

Operasinya dibahagikan kepada dua bahagian iaitu penjual pihak ketiga dan gudang Buna Market sendiri. 

Mirwan Badri menjelaskan bahawa semua biji kopi yang dijual oleh pemanggang kopi tempatan dan antarabangsa disediakan dan dijual secara terus oleh pemanggang individu tersebut. 

Bagi gudang Buna Market pula ia mengendalikan stok yang tidak berkaitan dengan biji kopi termasuk peralatan membuat kopi, aksesori, mesin dan peralatan lain yang disediakan oleh pasukannya bagi memenuhi permintaan pelanggan. 

Mengimbau permulaannya menceburi perniagaan kopi Mirwan Badri berkata ia bermula pada 2013 selepas meninggalkan kerjaya dalam bidang perbankan.

Beliau menjelaskan pada awalnya, minat terhadap industri makanan tercetus ketika bekerja di sebuah kedai menjual sandwich iaitu ‘Pret A Manger’ di London, selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

Berikutan itu, pada usia 27 tahun, beliau mengambil keputusan untuk membuka perniagaannya sendiri yang menggabungkan kafe dan kilang kopi bagi membekalkan biji kopi kepada perniaga lain.

Mirwan Badri ialah pemilik Sprezzatura Sdn Bhd dan kafe Sprezzatura Coffee yang bertempat di Phileo Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Selain Sprezzatura Coffee, kini beliau turut mengusahakan Coffee Marketplace, yang memberi tumpuan kepada urus niaga kopi mentah menerusi jenama CMP serta Utan Kopi, jenama kopi premium yang mengetengahkan hasil tanaman kopi tempatan.

Menerusi Utan Kopi, beliau membawa aspirasi untuk menyokong perkembangan industri kopi Malaysia dengan mengetengahkan kopi yang di tanam di negara ini.

Usaha tersebut turut melibatkan kerjasama bersama penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok.

Dalam pada itu, mengimbas kembali perjalanannya dalam perniagaan, Mirwan Badri berkata beliau pernah melalui dua fasa hampir muflis termasuk penutupan cawangan di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada 2019.

Cawangan baharunya di TTDI itu hanya bertahan selama enam bulan, mengakibatkan beliau menanggung kerugian sebanyak RM350,000, sekali gus memaksanya mengurangkan jumlah pekerja daripada 17 kepada tiga orang.

Perniagaan bekalan kopi yang dijalankannya turut terkesan selepas kehilangan beberapa pelanggan utama.

“Saya tak boleh nak tipulah yang banyak kali saya rasa nak berputus asa. Tetapi setiap kali saya nak putus asa, saya telefon mak saya, bercakap dengan isteri saya dan berkongsi dengan kawan-kawan.

“Kebanyakan orang, bila kita berkongsi masalah dengan ikhlas, kita tak sembunyi apa-apa perasaan, semua orang memang nak bantu kita. Kalau tak boleh bantu dari segi kewangan, mungkin dia boleh bantu dengan kata-kata semangat,” katanya.

Kisah Mirwan Badri dan Sprezzatura Coffee merupakan antara 69 kisah usahawan mikro yang diketengahkan menerusi kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’ oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69.

Mirwan Badri merupakan penerima pembiayaan Bank Simpanan Nasional (BSN) Micro-i MADANI sebanyak RM50,000 ketika pandemik COVID-19 bertujuan membantu memulihkan perniagaan, termasuk memperkenalkan produk baharu, membeli perabot, menaik taraf mesin kopi dan menambah modal kerja.

Beliau mengakui bahawa pembiayaan tersebut banyak membantu kelangsungan perniagaannya ketika berdepan cabaran itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi BSN, Zarir Mohd Rawi berkata sehingga kini, lebih 5,000 usahawan mikro telah menerima manfaat BSN Micro-i MADANI, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan penerima mencecah 180,000 orang sejak skim ia diperkenalkan pada 2007.

“Skim ini menawarkan pembiayaan bermula RM2,000 hingga RM100,000. Secara amnya, ia bertujuan membantu usahawan mikro supaya mereka dapat mengembangkan perniagaan, sama ada untuk memulakan perniagaan baharu atau mengembangkan perniagaan sedia ada,” katanya.

-- BERNAMA