BERITA TERKINI   Liga Super: Kelantan Red Warrior FC 2-5 Star City FC | Raja Permaisuri Agong zahirkan keprihatinan terhadap kesihatan, pendidikan pelajar susulan situasi jerebu - Fadhlina | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Berikutan Pengukuhan Dalam Permintaan Eksport Dan Harga Minyak

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives melantun semula untuk ditutup tinggi pada Jumaat selepas disokong oleh pengukuhan dalam permintaan eksport Oktober.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata kenaikan dalam harga tenaga turut memberikan sokongan kepada sentimen pasaran, walaupun inventori domestik yang mencatat rekod tinggi terus mengehadkan keuntungan.

Ad Banner

“MSM adalah bahan mentah utama untuk pengeluaran biodiesel. Oleh itu, kenaikan dalam harga tenaga turut melonjakkan permintaan biodiesel, seterusnya memacu permintaan MSM,” katanya kepada Bernama.

Menurut juruukur kargo Amspec Agri Malaysia, eksport minyak sawit Malaysia berkembang 37.73 peratus, atau 134,760 tan metrik, kepada 491,954 tan metrik pada 1-10 Okt berbanding 357,194 tan metrik dalam tempoh yang sama pada September.

Sementara itu, syarikat pemeriksaan bebas Intertek Testing Services melaporkan bahawa eksport meningkat 33.51 peratus, atau 131,776 tan metrik, kepada 525,071 tan metrik pada 1-10 Okt, berbanding 393,295 tan metrik pada 1-10 Sept.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada penutupan, kontrak November 2026 menyaksikan keuntungan sebanyak RM60 kepada RM4,536 satu tan, Disember 2026 naik RM57 kepada RM4,676 satu tan dan Januari 2027 menokok RM44 kepada RM4,769 satu tan.

Sementara itu, Februari 2027 naik RM37 kepada RM4,852 satu tan, Mac 2027 lonjak RM27 kepada RM4,926 satu tan dan April 2027 bertambah RM17 kepada RM4,984 satu tan.

Jumlah dagangan merosot kepada 133,428 lot berbanding 133,700 yang dicatatkan pada Khamis, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 339,364 kontrak daripada 333,964 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan adalah RM60 lebih baik kepada RM4,500 setan.  

-- BERNAMA