BERITA TERKINI   Bot bertembung di Mersing: Dua maut, tujuh cedera masih dirawat - Polis | Dua kertas siasatan dibuka berhubung perlanggaran bot penumpang di Mersing yang mengorbankan dua nyawa - Polis | Sejumlah 14 MoU bernilai RM1.49 bilion ditandatangani pada pembukaan MAHA Trade Days 2026 - Menteri Pertanian | KPKM fokus peruntukan menghadapi fenomena El-Nino dalam Belanjawan 2027 - Mohamad Sabu | MAHA Trade Days 2026 sasar RM8 bilion komitmen pelaburan, perdagangan - Menteri Pertanian | 

Wilayah Guizhou Di China Bina Rantaian Nilai Ai Bersepadu, Sasar Pasaran Asia Tenggara

Daripada Abdul Hamid A Rahman

GUIYANG, (China), 1 Sept (Bernama) -- Perjalanan selama kira-kira 40 minit dari Guiyang ke Kawasan Baharu Gui'an memaparkan tumpuan syarikat teknologi dan infrastruktur digital yang mungkin agak tidak asing bagi pengunjung dari Malaysia, kerana kawasan itu mempunyai sedikit persamaan dengan Cyberjaya.

Lawatan itu adalah sebahagian daripada program media yang dianjurkan oleh portal berita China, People's Daily Online, bersempena dengan Ekspo Industri Data Raya Antarabangsa China 2026 (China International Big Data Industry Expo 2026), membawa wartawan ke Gui'an untuk melihat perkembangan industri digital dan kecerdasan buatan (AI) di Guizhou.

Ad Banner

Berdasarkan tiga syarikat dikunjungi oleh para wartawan, Gui'an menunjukkan perkembangan Guizhou dalam membangunkan rantaian nilai AI bersepadu - daripada menyediakan data latihan dan menukar maklumat kepada aset komersial hingga menyediakan kuasa pengkomputeran dan akses kepada model asas.

Syarikat itu juga sedang meninjau pasaran di luar China, dengan satu daripadanya percaya bahawa ‘data kepada model AI’ miliknya boleh digunakan semula di Malaysia manakala satu lagi sedang bersedia untuk menawarkan perkhidmatan pengkomputerannya ke peringkat antarabangsa.

Pada bahagian huluan rantaian tersebut, Guizhou Duanmu Youcaitong Big Data Co Ltd menyediakan dan menganotasi kuantiti data yang besar yang diperlukan untuk melatih sistem AI, perkhidmatannya merangkumi pemanduan autonomi, AI fizikal (merujuk kepada sistem kecerdasan buatan yang bukan sekadar memproses data atau teks secara digital, tetapi berinteraksi secara langsung dengan dunia fizikal menerusi perkakasan seperti robot, kenderaan autonomi, dron, dan jentera pintar) pembuatan pintar, serta aplikasi audio dan video berbilang bahasa.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pengurus Besar syarikat itu, Zhao Shungang berkata Duanmu Youcaitong telah mengendalikan kerja anotasi data berkaitan Asia Tenggara untuk syarikat teknologi utama China yang mempunyai platform luar negara, bagaimanapun, usaha mengembangkan operasi anotasi data ke peringkat antarabangsa tidak semudah memindahkan model sedia ada syarikat itu ke negara lain.

“Antara isu terasnya ialah keselamatan data dan pemilikan data. Untuk pengantarabangsaan, ini kekal sebagai halangan kerana dasar data pada masa ini tidak membenarkan semuanya dihubungkan merentas sempadan,” katanya.

Ini bermakna sebarang pengembangan ke pasaran seperti Malaysia perlu mengambil kira peraturan data tempatan, syarat pemilikan, dan lokasi maklumat tersebut diproses.

 

Membangunkan Bakat AI

Duanmu Youcaitong juga bekerjasama dengan universiti untuk melatih pelajar dan membangunkan barisan tenaga kerja bagi industri data AI.

Zhao menamakan Universiti Normal Guizhou, Universiti Guizhou, Universiti Perdagangan Guizhou, dan Universiti Perubatan Tradisional Cina Guizhou antara rakan kongsi pendidikannya.

“Dalam tempoh beberapa bulan sebelum pelajar menamatkan pengajian, iaitu ketika menjalani latihan industri, kami memperkenalkan tugasan berasaskan pesanan sebenar ke universiti untuk latihan.

"Kami juga mungkin membawa mereka ke syarikat kami untuk latihan industri. Jika prestasi mereka baik, mereka mungkin kekal di sini untuk bekerja,” kata Zhao.

Model itu menggambarkan bagaimana industri data AI boleh mewujudkan peluang pekerjaan melebihi jawatan penyelidikan yang sangat khusus kerana penyediaan dan pemeriksaan data latihan juga memerlukan tenaga manusia.

Jika maklumat beranotasi adalah bahan mentah untuk AI, Guizhou ChinaDataPay Network Technology Co Ltd mewakili peringkat seterusnya - mengubah data menjadi aset dan produk yang boleh digunakan secara komersial.

Ditubuhkan di Gui'an pada 2016, ChinaDataPay menyediakan perkhidmatan merangkumi tadbir urus data, pengesahan hak data, pengkomersilan aset data, dan peredaran data yang patuh

Ia membantu badan kerajaan, organisasi milik kerajaan, dan syarikat membuka maklumat yang mungkin terbiar atau terasing dalam sistem data yang berasingan.

Syarikat itu juga telah mewujudkan Kaedah Sembilan Langkah untuk Mengiktiraf Aset Data pada Lembaran Imbangan.

ChinaDataPay menyatakan ia telah membangunkan lebih 1,800 produk data dan melaksanakan lebih 300 senario aplikasi merentas sektor termasuk kewangan, insurans, pengangkutan, logistik, kerajaan digital, dan pelancongan. Kerjanya merangkumi penukaran maklumat mentah kepada aplikasi seperti pengesahan identiti, penilaian risiko, pemarkahan insurans kenderaan, dan ramalan aliran trafik.

Dalam pada itu, Nie Biao, Pengurus Besar penggiliran Bahagian Perniagaan Data Tempatan ChinaDataPay berkata model syarikat itu, merangkumi transformasi data kepada aset dan seterusnya kepada aplikasi AI, boleh dibawa ke luar negara dan disesuaikan untuk kegunaan di Malaysia.

"Daripada data kepada aset dan kemudian kepada AI, ini adalah model yang boleh kita gunakan di Malaysia, ia boleh digunakan melalui pendekatan yang agak ringan. Kami percaya keseluruhan proses ini juga boleh diterapkan di Malaysia,” katanya.

Model sedemikian relevan kepada agensi kerajaan dan syarikat di Malaysia yang mahu memanfaatkan maklumat sedia ada dengan lebih baik selain memastikan pemilikan, tadbir urus dan peredarannya mematuhi keperluan tempatan.

Melengkapkan rantaian nilai tersebut ialah Guizhou Suanjia Computing Services Co Ltd yang menyediakan kuasa pengkomputeran dan akses model diperlukan untuk membangunkan serta mengendalikan aplikasi AI.

Hasil inkubasi oleh Pusat Pengkomputeran Super Gui'an dan Universiti Guizhou, syarikat itu pakar dalam penjadualan kuasa pengkomputeran beragih.

Menurut syarikat itu, ia telah menghubungkan sebanyak 11 pusat pengkomputeran merentasi lapan wilayah di China dan mengintegrasikan lebih 10,000 kad pemecut AS ke dalam rangkaiannya.

Infrastrukturnya menyediakan perkhidmatan kepada PKS, pembangun individu, universiti dan penyelidik, dengan syarikat itu mencatatkan hampir 60,000 pengguna individu. 

Platform antara muka pengaturcaraan aplikasi Suanqiao menyediakan akses kepada model AI arus perdana Cina, termasuk DeepSeek, Qwen, GLM, Kimi dan MiniMax, melalui satu kunci API.

Pada masa ini, penggunaan token harian platform itu telah meningkat daripada puluhan juta token semasa ia mula dilancarkan kepada paras berbilion token, membantu mengurangkan halangan teknikal dan kewangan kepada perusahaan kecil dan institusi penyelidikan yang ingin menggunakan teknologi AI.

Syarikat itu kini sedang bersedia untuk mengembangkan perkhidmatannya ke peringkat antarabangsa. 

“Kami sedang membangunkan versi antarabangsa bagi dua produk kami, iaitu Suanjia Cloud dan platform Suanqiao API. 

“Ia dijangka dilancarkan menjelang akhir September dan bakal tersedia untuk pengguna antarabangsa,” kata Pengurus Besar Guizhou Suanjia Computing Services Co Ltd, Yang Jiawei. 

 

Pasaran Asia Tenggara

Platform antarabangsa itu boleh menyediakan laluan kepada pelanggan di Asia Tenggara, termasuk PKS, universiti, penyelidik dan pembangun di Malaysia, untuk mengakses kapasiti pengkomputeran serta model AI tanpa perlu membina infrastruktur mereka sendiri yang melibatkan kos yang tinggi. 

Yang berkata pensyarah dan pelajar universiti merupakan kira-kira separuh daripada pelanggan yang menjadi sasaran utama syarikat tersebut. 

“Walaupun skala rangkaiannya adalah besar, Suanjia beroperasi dengan tenaga kerja yang agak kecil.

“Ketika ini kami mempunyai lebih sedikit daripada 40 pekerja. Tahun lepas, jumlah pengeluaran kami melebihi 30 juta yuan,” katanya.

Secara keseluruhannya, ketiga-tiga syarikat tersebut menunjukkan komponen berbeza yang diperlukan untuk membina ekonomi AI, iaitu Duanmu Youcaitong dalam membekalkan data latihan beranotasi, ChinaDataPay pula menukar maklumat kepada aset yang ditadbir dan boleh digunakan secara komersial manakala Suanjia menyediakan kuasa pengkomputeran dan akses kepada model AI.

Oleh itu, bagi Malaysia pengalaman Guizhou menawarkan lebih daripada sekadar pandangan mengenai perkembangan teknologi China. 

Ia menunjukkan potensi bidang kerjasama, yang merangkumi data latihan AI pelbagai bahasa, pengurusan aset data dan perkhidmatan pengkomputeran yang berpatutan untuk syarikat, universiti serta institusi penyelidikan. 

Bagaimanapun, dalam usaha memacu AI dan mengkomersialkan data, amalan tradisi masih lagi dipertahankan. 

Ini kerana di Guizhou Duanmu Youcaitong, Zhao masih menyediakan dan menghidangkan teh secara peribadi, selain mengisi semula cawan setiap pelawat sepanjang sesi temu bual sebagai tanda layanan mesra dan rasa hormat. 

Layanan itu mungkin dianggap perkara kecil tetapi ia amat bermakna, ketika syarikat Guizhou sedang meneroka peluang untuk menembusi barisan hadapan AI, namun tradisi yang membentuk cara seseorang itu menyambut tetamunya, mengadakan perbualan dan menjalinkan hubungan tidak pernah dilupakan. 

-- BERNAMA