Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Sebelum Catat Penurunan Berikutan Prestasi Lemah Di Wall Street
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Rabu, bagaimanapun mencatatkan penurunan selepas itu, menjejaki prestasi Wall Street lemah semalaman disebabkan harga minyak mentah yang lebih tinggi and hasil bon Amerika Syarikat (AS) yang meningkat telah membebani sentimen pasaran.
Pada jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.97 mata kepada 1,697.57 berbanding 1,700.54 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.42 mata lebih tinggi pada 1,700.96.
Prestasi pasaran secara menyeluruh negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 230 berbanding 122, sebanyak 285 kaunter tidak berubah, 2,135 tidak diniagakan dan 17 lagi digantung dagangan.
Jumlah dagangan mencecah 199.75 juta saham bernilai RM78.70 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street merosot apabila harga minyak mentah dan hasil bon melonjak berikutan serangan terbaharu AS ke atas Iran.
“Minyak mentah Brent kini diniagakan hampir kepada US$95 setong, manakala hasil Perbendaharaan 10 tahun AS meningkat kepada 4.796 peratus, menjadikan prospek penurunan kadar faedah mungkin berlaku buat masa ini,” katanya kepada Bernama.
Thong berkata berikutan penurunan FBM KLCI semalam, beliau percaya ini menawarkan peluang aktiviti belian semasa harga rendah berlaku hari ini dan menjangkakan indeks itu bergerak dalam julat 1,695 hingga 1,710.
Sementara itu, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia dijadualkan bermesyuarat pada Khamis untuk memutuskan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Jangkaan konsensus menjangkakan bahawa Bank Negara Malaysia akan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus sepanjang baki tahun 2026.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Public Bank tidak berubah masing-masing pada RM10.56 dan RM4.91, manakala CIMB Group dan Tenaga Nasional kedua-duanya susut lapan sen masing-masing kepada RM7.77 dan RM13.68, manakala IHH Healthcare merosot dua sen kepada RM8.13.
Bagi saham paling aktif, Focus Dynamics, Ni Hsin dan MAG Holdings tidak berubah masing-masing pada setengah sen, 24 sen dan 16 sen, HHRG merosot satu sen kepada 14.5 sen, dan GIIB Holdings berkurangan 0.5 sen kepada 49 sen.
Antara saham paling untung, Fraser and Neave naik 70 sen kepada RM25.98, Malaysian Pacific Industries meningkat 40 sen kepada RM40.66, Hengyuan Refining menokok 39 sen kepada RM2.92, Kuala Lumpur Kepong menambah 36 sen kepada RM22.20, dan Petronas Chemicals melonjak 22 sen kepada RM4.29.
Saham paling rugi pula, BLD Plantation menguncup 50 sen kepada RM14.50, Hong Leong Bank susut 30 sen kepada RM23.40, YTL Power merosot 12 sen kepada RM5.52, Petronas Dagangan berkurangan 10 sen kepada RM20.04, manakala United Malacca turun lapan sen kepada RM5.92.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 29.81 mata kepada 12,575.20, Indeks FBM Top 100 merosot 24.97 mata kepada 12,388.86, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 18.80 mata kepada 12,5373.18, Indeks FBM Mid 70 menguncup 50.08 mata kepada 17,866.41 dan Indeks FBM ACE turun 11.32 mata kepada 5,175.16.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.06 mata kepada 185.65, Indeks Tenaga meningkat 6.81 mata kepada 796.65, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 71.88 mata kepada 19,966.59, manakala Indeks Perladangan merosot 18.90 mata kepada 9,296.38.
-- BERNAMA