BERITA TERKINI   Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 3 di Tok Bali, Pasir Puteh dijangka mula beroperasi November ini - Saifuddin Nasution | KDN sedia hadapi ancaman penyusupan, pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand - Saifuddin Nasution | Dua remaja selamat insiden lemas Tanjung Lompat masih dirawat di Hospital Kota Tinggi - Exco | Tragedi Tanjung Lompat: Kerajaan Johor beri sokongan psikologi, kaunseling kepada mangsa selamat dan ahli keluarga - Exco | Pelaksanaan Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) bukan menghukum, tetapi tambah baik kualiti kepimpinan tertinggi sektor awam - KSN | 

Perdagangan Dua Hala Malaysia, Indonesia Berpotensi Berkembang Lebih Kukuh - Johari

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 3 Sept (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia berpotensi besar untuk mengembangkan perdagangan dua hala melangkaui RM114 bilion yang dicatatkan tahun lepas sekiranya kedua-dua negara dapat memperkukuh lagi pemudahan perdagangan dan menambah baik pergerakan barangan rentas sempadan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pemudahan perdagangan yang ditambah baik boleh melonjakkan lagi jumlah transaksi dengan Perjanjian Perdagangan Sempadan memainkan peranan penting untuk menyokong memudahkan aktiviti ekonomi.

Ad Banner

"Apa yang penting ialah kita sebenarnya boleh menggandakan, tiga kali ganda, empat kali ganda jumlah transaksi jika kedua-dua negara dapat memperkukuh pemudahan perdagangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas bertemu rakan sejawatannya dari Indonesia, Budi Santoso pada mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan Bersama (JTIC) Malaysia-Indonesia keempat,di sini, hari ini.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Muzafar Shah Mustafa turut hadir pada mesyuarat itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mengenai prestasi perdagangan dua hala, Johari berkata Malaysia mengeksport barangan bernilai kira-kira RM51 bilion ke Indonesia tahun lepas serta mengimport RM62.6 bilion, dan menyasar untuk meningkatkan lagi eksportnya ke negara itu.

Beliau berkata pertumbuhan perdagangan dua hala juga berterusan tahun ini, dengan jumlah perdagangan meningkat 10 peratus kepada RM71.1 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026.

Dalam satu kenyataan bersama dengan Budi susulan mesyuarat itu, Johari berkata Perjanjian Perdagangan Sempadan adalah antara perkara utama yang dibincangkan, di samping dasar eksport Indonesia, kerjasama pelaburan, keperluan standard dan kerjasama halal.

Pasukan teknikal dari kedua-dua negara sedang berusaha menangani isu-isu tersebut, katanya.

“Kami memeterai Perjanjian Perdagangan Sempadan pada 2023. Diharapkan perjanjian ini akan memudahkan banyak aktiviti ekonomi antara kedua-dua negara,” katanya.

Mengenai dasar eksport baharu Indonesia iaitu komoditi sumber asli strategik perlu disalurkan melalui entiti milik negara yang ditetapkan, beliau berkata Malaysia memahami rasionalnya dan akan mematuhinya.

Dalam pada itu Johari berkata Malaysia dan Indonesia perlu memperkukuh lagi kerjasama yang akan dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua negara.

Katanya pelaburan kumulatif Malaysia di Indonesia antara 2023 dan 2025 berjumlah RM70 bilion, bersamaan kira-kira US$17 bilion.

Sementara itu, Budi, yang turut ditemu bual Bernama selepas mesyuarat itu berkata Indonesia menjangkakan perdagangan dua hala akan terus meningkat di samping aliran pelaburan yang lebih kukuh.

"Kami menjangkakan perdagangan antara kedua-dua negara terus mengukuh; eksport Malaysia ke Indonesia akan meningkat dan eksport Indonesia ke Malaysia juga akan berkembang," katanya.

Beliau berkata hubungan erat Malaysia dan Indonesia sebagai rakan anggota ASEAN serta pertalian budaya dapat memperkukuh kepercayaan bersama, sekali gus menyokong pertumbuhan perdagangan dan pelaburan dua hala.

-- BERNAMA