Keputusan BNM Kekal OPR 2.75 Peratus Bukti Keyakinan Terhadap Pertumbuhan Ekonomi Negara
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus hari ini mencerminkan keyakinan bank pusat itu terhadap keupayaan ekonomi Malaysia untuk mengekalkan pertumbuhan yang aktif pada 2026, menurut ahli ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk mengekalkan kadar OPR adalah selaras dengan unjuran kebanyakan ahli ekonomi.
Menurut beliau, pendirian MPC dilihat cukup seimbang manakala prospek makroekonomi yang positif diunjur kekal berterusan sehingga penghujung tahun ini.
“Justeru, kami percaya OPR berkemungkinan besar akan dikekalkan pada 2.75 peratus dalam mesyuarat MPC seterusnya iaitu pada November," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ahli ekonomi TA Securities Research Shazma Juliana Abu Bakar menjelaskan keputusan BNM mencerminkan pendirian dasar monetari semasa yang kekal menyokong kestabilan harga dan pertumbuhan yang mampan.
Melangkah ke hadapan, beliau memberitahu pasaran mengunjurkan risiko cenderung ke arah kenaikan 25 mata asas pada 2027 terutamanya jika bank-bank pusat utama melanjutkan semula pengetatan dasar monetari.
Beliau berkata kenaikan sederhana dalam OPR tidak akan memberi kesan ketara terhadap perbelanjaan swasta memandangkan perbelanjaan isi rumah kekal disokong oleh pertumbuhan gaji yang stabil, pasaran buruh yang mantap dan bantuan kerajaan yang bersasar.
Bagaimanapun, Shazma Juliana memberitahu kesan kos pinjaman yang lebih tinggi mungkin lebih dirasai dalam kalangan perbelanjaan yang sensitif terhadap kadar faedah terutamanya bagi pembelian rumah dan barangan bernilai tinggi.
“Tempoh bagi sebarang pelarasan dasar bergantung sepenuhnya kepada perkembangan data semasa terutamanya kepantasan kenaikan kadar di Amerika Syarikat serta pergerakan inflasi domestik,” katanya.
Shazma Juliana turut menyatakan bahawa inflasi diunjur kekal terkawal pada kadar 2.1 peratus bagi 2026 dan 1.7 peratus pada 2027.
BNM mengekalkan OPR iaitu tidak berubah pada 2.75 peratus untuk mesyuarat MPC yang ketujuh berturut-turut sejak pengurangan 25 mata asas pada Julai 2025.
Bank pusat itu memaklumkan petunjuk terbaharu menunjukkan pertumbuhan global yang mampan, disokong oleh perkembangan pesat sektor teknologi global yang kukuh, penambahbaikan keadaan bekalan dan pasaran buruh yang stabil.
Menurut bank pusat, biarpun kadar inflasi mula mereda sejak beberapa bulan lepas, ia diunjur kekal pada aras tinggi susulan kesan lanjutan daripada pemindahan kos tenaga kepada harga pengguna.
BNM menyatakan bagi prospek akan datang, berikutan ketidaktentuan konflik di Asia Barat yang terus menekan pertumbuhan global serta tekanan inflasi, perbelanjaan berterusan dalam sektor teknologi dijangka mampu menyerap sebahagian daripada impak negatif berkenaan.
-- BERNAMA